Friday, September 18, 2009

Ustaz Haji Musa: Gergasi Ilmu Yang Tersembunyi (I I )

Haji Musa kembali ke Malaya ketika pilihanraya pertama hampir diadakan. Beliau telah mengambil sikap untuk tidak mencampur persoalan politik kepartian. Abangnya Ustaz Haji Yusuf telah menjadi penyokong kuat Parti Negara, pimpinan Dato Onn Jaafar. Ketika dipelawa untuk menyertai Parti Negara oleh abangnya, beliau menjawab yang 'mengabungkan diri dalam organisasi ini adalah umpama menaiki bus, ada bus yang baik tetapi pemandunya bermasalah, dan ada pula pemandu yang baik tetapi bus yang bermasalah ", jadi beliau mengambil keputusan untuk berjalan sendiri.

Sebenarnya beliau membentuk pendiriannya terhadap politik kepartian, antara lain disebabkan dua faktor, pertamanya beliau diminta menyalin jawaban Pak Nik Leh kepada pertanyaan yang ditujukan kepada ulama di Makkah tentang hukum memberi sokongan kepada Masyumi di Indonesia; beliau mengatakan apa yang lebih pentingnya adalah dalil-dalil yang dijadikan hujjah oleh Pak Nik dalam membuat keputusan bahawa sokongan terhadap Masyumi adalah wajib, sebenarnya keputusan itu sendiri tertaaluk kepada kekuatan dalilnya. Keduanya beliau telah mengikut kursus selama 2 minggu anjuran Masyumi untuk mengenali ideologi politik, seperti demokrasi, sosialisma, kominisme dan lain-lain. Sikap beliau adalah tegal dan tidak mungkin digugat. Biasanya sebelum tiba pilihanraya, beliau lebih banyak bersendirian, katanya serabut dengan perbincangan soal-soal kepartian. Almarhum Haji Daud Pintu Geng telah mengatakan kepada beliau "ana tahu anta tak mengundi, tetapi doakanlah agar PAS menang". Dia menjawab yang dia tidak mahu berdoa sedemikian. Lalu Haji Daud bertanya "anta nak doa apa?". Dia menjawab sekiranya dia berdoa dia akan mendoakan agar yang lebih baik akan menang. Haji Daud mengatakan "tak apalah asalkan anta berdoa (dalam soal ini)".

Beliau jugamengesyur agar kita mengikat diri kita dengan huraian mazhab kita tanpa melakukan talfiq . Kenapa di waktu susah kita hendak berlepas diri dari pendapat dalam mazhab kita?, Kalau dalam berkawan sikap itu menunjukkan tiada setiakawan. Kecuali kita berfahaman ada pendapat yang lebih jelas dan lebih benar menepati sunnah; sehingga beliau mengatakan ada seorang rakannya yang berihram mengikut mazhab lain, lalu dia didatangi kesedaran seolah-olah Imam as_syafi'ie bertanya "kenapa ditinggalkan pendapat aku, adakah ianya salah?".

Bagaimanapun beliau mengesyurkan agar kita mengambil kira pendapat dalam lain-lain mazhab, umpamanya dalam masaalah membeli anak orang bukan Islam (yang kerap terjadi pada tahun 1960'an dan 70'an) untuk dijadikan anak angkat. Dia mengatakan bahawa walaupun dalam mazhab kita orang yang merdeka tidak dapat dijadikan hamba kecuali tawanan perang, tetapi mazhab Hanafi membenarkannya, jadi adalah lebih cermat untuk kita melafazkan niat memerdekakan anak yang dibeli itu.Begitu juga tentang pembayaran fidyah sembahyang bagi orang yang sudah meninggal, beliau menjelaskan yang amalan itu tiada dalam mazhab kita, mengikut ulama kita, warith hendaklah mengqada' sembahyang yang tertinggal. Pembayaran fidyah sembahyang itu terdapat dalam mazhab Hanafi. Bagaimanapun orang kita agak sukar untuk mengqadakan sembahyang simati, maka membayar fidyah itu umpama menahan pukat di beberapa tempat dengan harapan terkena ikan. Tuduhan orang yang mengatakan bahawa perbuatan menarik-sorong guni beras untuk membayar fidyah itu adalah perbuatan menipu Tuhan, dia mengatakan yang perbuatan menipu itu ialah perbuatan yang dialkukan dengan sangkaan yang ditipu tidak mengetahui apa yang sebenarnya, dalam hal ini perbuatan tarik-sorong itu dilakukan dengan keyakinan yang Tuhan Maha Melihat dan Maha Mendengar apa yang sedang dilakukan, tetapi ianya dilakukan sebagai ikhtiar untuk mencukupi jumlah cupak yang perlu dilunaskan dengan sumber yang terhad.

Beliau juga berpandangan bagi orang yang menunaikan haji tamattu', dia tidak disunnatkan melakukan umrah berbilang kali sebelum dia menyempurnakan ibadat haji. Di dalam mazhab kita, kerana kita melakukan umrah dalam musim haji (berserta dengan melakukan pula ibadat haji dalam permergian sama) maka bayaran dam dikenakan, baginya kenapa perlu diulang-ulang umrah itu?. Baginya ramai yang terkeliru di tempat perbincangan tentang qaul ulama mazhab kita tentang pembayaran dam bagi haji tamattu', Di dalam kitab disebut terdapat 3 pendapat tentang pembayaran dam : 1- berbilang dam dengan berbilang umrah. 2- memadai satu dam sekiranya umrah-umrah itu dilakukan sebelum pembayaran dam. 3-berbilang umrah memadai dengan satu dam tanpa syarat sebagaimana pendapat ke 2. Walaupun qaul yang ke 3 itulah yang kuat, ianya sekadar menunjukkan harus dilakukan dilakukan umrah berkali-kali sebelum melakukan haji, tetapi tiada pula disebutkan disunnatkan. Sehingga beliau mengatakan sekiranya terdapat mana-mana kitab feqah yag jelas mengatakan sunnat dikerjakan umarh berkali-kali, beliau ingin memberi sagu-hati kepada yang dapat membawa kitab itu sebanyak RM1'500 (katanya itu sahalah simpanan beliau).

Begitu juga dengan adab di kubur, beliau sangat mengambil-berat. Beliau tidak membenarkan duduk di atas belindan kubur kerana katanya hadith yang melarang duduk di atas kubur itu tidak perlu ditakwil dengan duduk untuk berak kencing kerana takwil ini digunakan apabila terdapat tempat kerumitan untuk beramal dengan yang zahir. Beliau sendiri akan memerhati untuk tidak melangkahi kubur,. Dan apabila membaca talqin mayat lelaki, beliau akan menghadap mayat serta membelangki qiblat. Dan apabila membaca talqin mayat perempuan beliau akan menghadap qiblat.; iaitu dari belakang mayat. Katanya kita hendaklah beradab dengan orang yang sudah meninggal sebagaimana kita beradab ketika mereka hidup. Beliau tidak menyukai pemasangan belindan kerana katanya bukankah terdapat larangan perbuatan mengapurkan kuburan, baginya belinda itu dari simen, iaitu sejenis kapur (memangpun dari segi kandungan CaCo3-nya) dan belindan menyusahkan orang untuk menggali lubang kubur berhampiran terutama sekiranya di atas tanah wakaf. Begitu juga perbuatan menghisap rokok di atas tanah perkuburan, baginya kenapa perlu dihambat malaikat rahmat yang hadir bersama akibat bau dan asap rokok?.

Beliau sendiri mengatakan beliau tidak boleh menerima hukum yang mengharamkan rokok, kerana tiada nas al-Quran dan sunnah untuk menyokong hukum itu. Dia mengatakan jangan disamakan haram rokok dengan haram arak, kerana haram arak itu haram pada 'ain arak itu sendiri, kalaupun rokok itu hendak dihukumkan haram, maka haramnya kerana ada 'illah-nya; umpama ia memudaratkan kesihatan seperti racun atau ikan buntal, atau kerana wangnya digunakan oleh musuh Islam untuk memerangi ummah atau umpamanya.[ Sekiranya mudarat kepada kesihatan, maka bagaimana tahap bahayanya dan kesepakatan tabib dalam hal ini, umpama ada makanan yang tidak sihat seperti monosodium glutamate, atau sebahagian pewarna makanan yang dikatakan boleh mengakibat kanser, atau apakah bahayanya apabila diambil berlebihan seperti gula dan lemak.]

Dia juga ketika membaca matan hadith yang menyebut sesiapa yang percaya kepada ramalan bintang (kaukab), dia kufur kepada apa yang dibawa oleh Muhammad; ini termasuk mempercayai kepada ramalan cuaca. Dia mengatakan ramalan cuaca dibuat berdasarkan pergerakan angin dan awan dan kedua elemen ini mempunyai 'driver-nya', arah angin dan pergerakan awan boleh bertukar arah dan kelajuan mengikut 'driver-nya'. Kita boleh mengambil panduan dari ramalan cuaca tetapi tidak boleh mempercayainya, sebagaimana kita juga boleh mengambil panduan dari petua orang tua tentang ketika (masa) serta hari baik-buruk, bertuah dan majal; sekadar panduan tanpa mempercayainya.

Beliau seorang yang menitik-berat tentang penggunaan perkataan, umpamanya beliau akan mengatakan perbuatan atau perkataan sebegini merosakkan iman tanpa menyebut ianya menyebabkan murtad. Dia mengatakan kita tidak semestinya mendoakan agar dijatuhkan penguasa yang zalim, memadai dengan berdoa agar dijadikan penguasa kita dari kalangan yang baik dan adil, maka yang zalim itu akan gugur sendirinya. Dia terkilan apabila ada seorang khatib yang menyebut 'sidang jumaat yang dihormati Allah', katanya ini keluar daripada orang yang tidak belajar usuluddin. Istilah hormat itu sepatutnya digunakan untuk golongan rendah kepada yang tinggi, seperti hormat anak kepada ibu-bapa dan hormat murid kepada guru. Mana mungkin dikatakan manusia dihormati Allah, sepatutnya katakanlah 'sidang jumaat yang dimuliakan Allah, manusia dimuliakan Allah dengan rahmat Islam dan Iman, dimuliakan Allah dengan ditaufiqkan dengan amalan ibadah dan ketaaatan.

Sekembali dari Makkah, Haji Musa dipertemu-jodohkan dengan Salma, anak kepada Tuan Guru Haji Idris Pondok Kota. Beliau tinggal bersebelahan , dalam rumah yang sama, dengan bapa mertuanya , begitu juga dengan abang iparnya Haji Salleh . Haji Salleh adalah seorang penuntut dan pengemar ilmu yang menghabiskan kebanyakan masa hayatnya bergelumbang dengan ilmu. Dia bukan setakat membaca kitab-kitab, bahkan banyak yang dihafalnya. Isteri serta dua anak perempuannya tinggal di Kota Bharu, Haji Salleh terus tinggal di kawasan madrasah/ pondok kecuali pada hujung minggu.

Haji Musa pernah memberitahu saya pengalamannnya dalam mendidik anak-anak, antara lain sekiranya kita mahu anak menumpu perhatian kepada pelajaran maka jangan biarkan dia mewah. Semakin tidak berduit, semakin pendeklah tumpuannya kepada perkara-pekara lain. Jangan dipukul anak dengan tangan kosong, kerana apa yang terlintas di hati kita ketika marah itu akan terus mengalir kepada anak, hendaklah dipukul menggunakan alat sebagai perantaraan (resistor bagi aliran dari hati). Sebelum menegur anak yang membuat kesalahan, hendaklah kita timbangkan sekiranya kita tengur apakah dia akan akur dengan teguran kita. Seandainya pada perkiraan kita, teguran kita itu tidak diikuti, janganlah ditegur lagi. Apabila dia engkar kepada teguran kita, itu bermakna dia melakukan maksiat, durhaka kepada orang tua. Kemungkinan maksiat itu lebih besar daripada maksiat yang sedang dilakukannya. Semakin banyak dia melakukan maksiat, semakin tebal-lah hijabnya, semakin tebal hijabnya semakin sukarlah untuknya kembali membetulkan kesalahan. Sebaliknya lakukan sesuatu yang jelas memberi isyarat kepada anak yang kita mengetahui perbuatannya dan kita tidak menyukai perbuatan tersebut dan lakukan usaha-usaha berdoa dan bersembahyang meminta Allah menganugerahi anak kita hidayah.

Haji Musa adalah seorang yang pendiam, dia banyak memerhati dan mendengar orang lain bercakap daripada dia sendiri bercakap. Dia mengatakan sikap diam itu banyak kelebihannya, antaranya orang lain tidak dapat menyukat sejauh mana pengetahuan kita dalam perkara yang mereka bincangkan, kadang kala mereka akan merasa malu dengan sendirinya.

Ketika membaca Durru ath-Thamin bagi Syaikh Daud al-Fatani, Haji Musa mengulas kenyataan yang Rasululullah tidak memakan makanan yang diperhangatkan semula ( makanan yang dimasak hanya sekadar cukup-cukup untuk sekali makan) dia menambah yang Imam as-Syafi'ie tidak memakan telor rebus yang bermalaman. (yakni Imam Syafi'ie hanya memakan telor rebus yang fresh). Dia juga mengulas kenyataan yang Rasulullah akan memakan roti bersama cuka atau lelemak; katanya kita sepatutnya makan nasi hanya dengan satu jenis lauk. Selain daripada menghayati sunnah Rasulullah; ia juga membolehkan kita mengetahui makanan mana yang tidak sesuai untuk kita dan juga apabila kita memakan makanan yang yang kita betul-betul terlior, perut kita akan menghadamnya dengan baik. Itulah juga amalan peribadinya.

No comments: