Wednesday, June 23, 2010

Champa Cerita Yang Panjang I

Saya diberitahu oleh gemulah ayah yang kita dari sebelah Mak Haji (panggilan kami begi nenek sebelah ayah, yang nama tubuhnya Hajjah Halimah Binti Dolah) dan sebelah Cik Wa (panggilan kami untuk datuk sebelah ayah) ini keturunan Cina Murun dari satu pihak, sementara disebelah Tok Nyang Tok Maya pula berketurunan keling kabul. Mak juga dari sebelah Tok Ayah Yeh (Datuk sebelah mak, namanya Hj Idris Hj Abdul Rahman) juga berketurunan Cina Murun. Katanya Gemulah Tok Imam Fauzi (Imam Mukim Padang Enggang) telah membuat family-tree untuk keturunan Cuina Murun ini.

Cina Murun ini datang dengan kapal, berpakaian serba hitam dan sememangnya sudah beragama Islam. Sehingga kini saya sendiri tidak tahu siapakah sebenarnya yang dikatakan Cina Murun ini. Sayapernah pada suatu masa dahulu agak-agak yang mereka adalah orang dari kawasan Kemboja. Mak dan ayah juga berpesan yang keturunan kita tak boleh makan ikan kekacang, katanya ikan kekecang ini pernah menyelamat tok moyang kita ketika kapal karam di tengah lautan. Saya telah bertanya penjual ikan di Wakaf Che Yeh untuk mengenal ikan kekacang, ianya jenis ikan yang badannya agak bulat dan agak panjang, dagingnya tidak begitu sedap. Dia memberitahu yang ikan ini banyak digunakan untuk membuat fish-ball berserta ikan haruan tasik (haruan ini namanya sahaja haruan, ianya ikan laut).

Ketika saya menghadapi peperiksaan LCE (sama dengan PMR sekarang) di sekolah, saya ada lompat pagar sekolah di sebelah malam merayau-rayau di sekitar sekolah, dan ada pada suatu malam itu sempat berbual panjang dengan asykar (mungkin polis hutan?) yang bertugas menjaga kem pelarian muslim kemboja yang terletak di belakang sekolah kami. Ketika itu Perkim begitu berjasa dalam menyelenggarakan kemasukan dan mengasimilasikan pelarian dari Kemboja ini dalam masyarakat kita.Ini adalah antara jasa Tungku Abdul Rahman.

Setahun dua kemudian, masyarakat Kelantan kecoh yang tangki-tangki air di beberapa tempat di Kelantan telah dicemari dengan bahan tertentu yang dikatakan telah dilakukan oleh orang Kemboja. akibatnya 'sianu' lelaki yang meminum air itu telah kerelo' (mengecil dan masuk ke dalam). Timbul kecurigaan terhadap orang Kemboja yang menjaja hendoi gantung yang masuk keluar kampong. Alhamdulillah fitnah jahat ini tidak berpanjangan.

Masyarakat Kemboja di Kelantan adalah masyarakat yang gigih berusaha dan berniaga , sehingga kini kita akan dapati bilangan yang significant daripada peniaga pasar malam dan pasar tani di Wakaf Che Yeh adalah orang Kemboja. Mereka masih bertutur antara satu sama lain dalam bahasa mereka. Mereka banyak tertumpu duduk di Penambang, di sekitar Kampong Bunga Mas. Saya pernah ke sana untuk menghadiri majlis akad nikah seorang saudara baru berketurunan Cina dari K.L yang berkahwin dengan seorang gadis kemboja. Saya diajak oleh saudara Dr. Muhammad Fuad Yeoh. Bapa pengantin perempuan itu menternak ikan talapia merah di dalam sangkar di Sungai Kelantan. Saya bertanya kenapa mereka buat rumah di situ, memandangkan kawasan itu adalah kawasan banjir. Dia menjawab kerana tanahnya agak murah dan orang Melayu tidak begitu suka tinggakl di kawasan itu, sedangkan katanya banjir itu paling lama pun seminggu, kemudain keringlah ia.

Pada tahun lepas, saya bersama isteri, Kak Yah (kakak saya) , Idah, Cik Esah (kakak ipar), Alya dan Siti Hajar telah melawat Kemboja. Kami memang hendak melihat negeri yang masyhur dengan Angkor Wat ini, dan juga mahu 'mengacau' rakan lama saya Dr. Nasir Hassan yang memang bertugas dengan WHO dan berpejabat di Phom Penh. Kami memang berjaya mengacau Dr. Nasir, itupun kerana dia seorang yang baik hati.

Saya tidak pernah terbayang sebelum ini yang ada negara yang mana harga barang dan sara hidup yang mahal sedangkan pendapatan rakyatnya yang sangat rendah. Saya tidak pernah terbayang di negara yang rakyatnya berjuang untuk memenuhi keperluan hidup akan terdapat begitu banyak kereta Lexus di dalam bandarnya. Saya tidak pernah terbayang bagaimana political vision seorang anak watan yang terlatih dalam seni persembahan yang mengelarkan dirinya Pol Pot (political potential) mempunyai keupayaan untuk menghancurkan negara dan bangsanya sendiri dengan begitu dahsyat. Kemboja adalah negara yang ada sudut-sudutnya yang di luar kemampuan khayal saya untuk membayangkan apa yang berlaku.

Saya terasa amat sesak dada ketika melawat the killing field dan sekolah yang digunakan untuk menyeksa rakyat sendiri. Sezalim-zalim Fir'aun pun dia zalim dan ganas kepada Bani Israel, kaum pendatang dan dia juga berjaya memakmurkan negerinya sehingga terbina monumen yang hingga kini kita kagumi itu.

Kami berada di Phom Penh untuk 3 hari , kami telah menaiki bas mini untuk ke Siam Reap. Di tengah perjalanan, Cik Esah tak tertahan hendak kencing. Saya memberitahu driver secara lisan dan isyarat. Selepas beberapa lama dia menghentikan basnya di tengah kawasan bendang, dan menunjukkan jari ke kawasan belukar dengan mengatakan 'toilet'. Apabila dia faham yang ingin kencing itu adalah seorang perempuan, dia ketawa kecil dan akhirnya berhenti di sebuah station minyak. Mengikut Dr. Nasir hampir 70% rumah di kemboja tanpa kemudahan tandas, dan kawasan di luar 7km daripada bandar tidak mempunyai bekalan elektrik.

Kami disambut di Siam Reap oleh Tourist guide yang bernama Yusuf. Yusuf ini pernah menghafal Quran di Sg. Golok, kemudian belajar di Pondok Pasir Tumbuh dan kemudiannya berkerja di kilang di Shah Alam. Dia adalah seorang pemuda yang kacak dan beradab-sopan. Shukri yang menjadi pemandu mini bus kami juga pernah belajar di Ulu Tiram Johor selama 8 tahun. Kedua-dua mereka ini banyak sangat banyak menolong dan melayan kerenah kami dengan baik sekali.

Saya suka dengan suasana di Siam Reap, bandarnya yang terdapat quater Peranchis yang nyaman dan tersusun. P'sar (ejaan pasar di sana) yang banyak serta dengan belbagai pilihan dari batu permata, seluar bundle, kain dan lain-lain kraf-tangan. Semua jual-beli menggunakan dollar Amerika. Ganjil sungguh, negeri yang mujur-mujur survive sahaja ekonominya tetapi main currency-nya adalah dollar!

Di Tonle Sap saya terpegun kepada kehidupan masyarakat airnya, bagaimana kah agaknya kualiti air di situ di usim kemarau yang panjang?. Tonle Sap membekalkan air minuman, lain-lain kegunaan rumah dan juga sebagai tandas, ianya juga merupakan medan mencari punca menyara hidup. Pernah disiarkan di dalam akhbar the Star yang ikan-ikan air tawar terbesar di dunia ditemui di sini, sebelum itu ramai yang beranggapan yang ikan air tawar terbesar terdapat di sungai Amazon , Amerika Selatan.Terdapat 20 keluarga muslim di dalam kampong terapung di sini.

Kami dibawa melihat perusahaan sutera di sini. Apa yang menarik bagi saya ialah penggunaan warna-warna pencelup kain dari bahan tempatan, terutama dari bahagian tumbuh-tumbuhan.

Pada hari isteri saya dan geng perempuannya ke Angkor Wat, ianya jatuh pada hari Jumaat, saya tidak berminat sangat untuk melawat Angkor Wat. tetapi saya tidak mahu ketinggalan maklumat, untuk itu saya sudah membeli buku khusus tentang Komplek Angkor Wat. Saya minta Yusuf hantarkan saya ke Masjid. Di sana saya diperkenalkan kepada Imam Musa, seorang Imam yang tajam pengamatannya dan seorang yang berkebolehan dalam mentadbir. Imam Musa mengajak saya untuk ke sempadan Thailand, dekat pekan Poipet untuk menziarahi pondok Darul Ulum. Kami singgah sebentar di Masjid perkampongan orang Islam untuk diagih-agihkan kain mengkana sembahyang untuk masyarakat di situ. Mengikut Imam Musa ia adalah sumbangan dari orang Malaysia.

Imam Musa bercakap dengan nada menyanjung menyebut-nyebut Dr. Harun Din yang banyak menyumbang jasa kepada masyarakat Islam di Kemboja, termasuk usaha membina masjid-masjid untuk masyarakat Islam di sini. Kami sampai ke Darul Ulum sebelum jumaat, sempat mendengar khutbah dlam bahasa Cham. Kami dijamu dengan makanan yang dibawa dalam dulang oleh keluarga-keluarga yang tinggal di kawasan pondok ini. Mereka begitu ramah dan mesra walaupun dalam segala kedaifan dan kesusahan. Mengikut Dr. Nasir, purata seorang rakyat Kemboja memakan 200 gram daging dalam masa setahun. Orang Islam menikmati daging hanya dari pembahagian daging korban. Sehari suntuk bersama Imam Musa membawa begitu sarat makna kepada saya.

Kami juga dibawa ke Cultural Village, melihat seni bina yang hampir sama dengan seni bina tradisioanal kita dan melihat persembahan budaya dan adat-istiadat mereka yang tidak jauh daripada amalan masyarakat kita. Umpamanya sireh susun di atas anak kasa , adat merenjis dan lain-lainnya. Rupanya budaya kita sangat hampir kepada mereka ini

Cuti sekolah baru-baru ini kakak sulung saya, budak mek, dan abang nul serta isterinya telah menziarahi Siam Reap. Saya belum bertanya khabar apa pengalaman mereka di sana. Semoga keakraban masyarakat Melayu Kelantan dan masyarakat cham Islam di kemboja akan kembali bertaut mesra sebagaimana dukunya. Jarak perjalanan dan kaeadah pengangkutan di zaman dahulu tidak menghalang mereka untuk berpergi-mari.

Insyaallah , saya akan menulis tentang apa yang saya temui tercatit dalam kitab Syaikh Ahmad al-Fatani yang berkaitan dengan masyarakat Cham