Friday, October 19, 2007

kawan dan lawan

kita sering terlupa tentang suatu pengembaraan
yang kita mulainya sejak seawal kelahiran
dari tiada upaya bertutur dan tiada tahu berjalan
kita menjadi remaja yang punya ratusan perasaan
kemudian rambut kita yang hitam bertukar uban
kesakitan mengampiri seakan menjadi rakan

kita mengenal dari kecil ribuan kawan
ada yang terus dikenang banyak yang terlupa
ramai yang dulu rapat bertukar jadi lawan
disebabkan perselisihan cara fikir tak serupa

Tuesday, September 11, 2007

Ramadan

Datang Ramadan menjenguk kami
seakan seorang pelatih yang dedikasi
sebulan dalam setahun perlu dipatuhi
segala suruh dan larang hendaklah diikuti

Ramadan adalah bulan berpuasa kengkang nafsu
Ramadan adalah bulan al-Quran dibaca selalu
Ramadan adalah bulan sembahyang terawih dilaku
Ramadan adalah bulan zakat diagih pada yang perlu

Puasa adalah rahsia hamba dengan Tuhan
tiada yang menganjarinya kecuali ar-Rahman
serta diberkas belenggu segala syaitan
supaya tenang berhubung Tuhan oleh insan

Apakah Ramadan berjaya merubah kehidupan
adakah sahur makanan jasad juga makanan kerohanian
adakah berdiri malam ditemani hati yang sangat tenteram
adakah lapar dahaga mengajar kita tentang kemanusian

Sebulan kita belajar menjadi manusia sebagai mula
kepada Tuhan seluruh hidupnya diperhamba
akhlaq ar-Rahman dipakainya mana yang pada
usaha mengilap hati agar cerah bercahaya
memercik semerbak bauan dari syurga
pada peribadi mukmin melalui Ramadan yang mulia
bahagialah kita kerana sempurna ibadat ketika berbuka
bahagialah kita diganjari Tuhan kelak ketika berjumpa

Oh Tuhan, pimpin kami ke Jalan yang Engkau reda
berilah makna kepada kami tentang ibadat puasa
ubahlah yang buruk pada kami menjadi mulia
sehingga tiada ada pada kami sebarang cita
kecuali cita dan cinta yang Engkau kurnia
Oh Tuhan, sambutlah kami dengan tilik mesra
walau dalam kepayahan dan kemalasan kami sentiasa
Oh Tuhan rahmat-Mu menyelimuti kekurangan hamba


akhir Syaaban 1428

Friday, September 07, 2007

Pesanan Bagi Seorang Gadis Kecil Zainab Zakiyah (catitan lama II)

Zainab,
seorang gadis hidupnya perlu keseorangan
walaupun dikelilingi keramaian
kerana keramaian kelilingan akan sunyi sudahnya
biarlah keramaian wujud di dalam dada sendiri
yang kita bawa bersama ke mana pergi

Zainab,
kesepian acapkali adalah kemeriahan hati bertafakkurkan Tuhan
keramaian kerap mengasingkan hati daripada-Nya
marilah kita keseorangan bertemankan Tuhan
elakkan gawat dikelilingi para syaitan

Zainab,
kesunyian kerap membuahkan hasil
umpama bumi yang diam menumbuhkan benihan
sedang bumi yang kerap bergoyang dan lebut dilalui orang
biasanya adalah tanah yang gersang
walaupun keduanya tersiram hujan

awal Rajab 1417.

Rentusan Hati (catitan lama I )

Kadang-kadang aku bertanya
tentang kehadiran peristiwa
hilang bersama masa
kekal dalam lipatan kenangan

kadang-kadang aku bertanya
tentang gelagat manusia
berbeza dan ganjil
seolah kesakitan jiwa
kerana citanya tiada dapat dikuasa

kadang-kadang aku bertanya
tentang aku, hati, diri dan manusia
tentang keramaian yang gelita
perjalanan yang gelisah
berbekal sekumtum harapan

kadang-kadang akau bertanya
tentang segala semua
dan aku sebenarnya di mana
di antara ruang cakrawala

kadang-kadang aku menjawab
biarkan semuanya beredar
bersama kehilangan waktu
dan aku masih di sini
semacam biasa

Medan Lubnan
Qahirah Nov 1988

Sunday, September 02, 2007

sembahyang

Sembahyang adalah kesimpulan pengabdian
apabila hati, lidah dan anggota mengadap Tuhan
ruku', sujud dan qiyam dilakukan mengikut arahan
seluruh kewujudan dimaknakan oleh pengibadatan

Seakan berada di majlis raja yang semerbak wangian
seumpama bersimpuh hormat menunggu kurnian
makhluk yang lemah menghubungi Tuhan penuh Kebesaran
menepikan aghyar membersihkan hati tempat tilikan

Oh tinggi naiknya mikraj Rabbani
diulang perkataan Muhammad dan Ibrahimi
menghadap wajah menatap Ilahi
kemudian turun semula ke bumi
seakan baru balik lalu disalami kanan dan kiri

Berjayalah sudah orang yang mendirikan sembahyang
terelak pada perkara sia -sia dan lagi terlarang
kewajiban zakat dia lakukan
maruah diri dikawal tenang
amanah dan janji dipenuh dan ditatang
serta disuburi sembahyang sehingga berkembang
selayaknya dia menemui Tuhan dalam keredaan
sebagai penghuni Firdausi, kekal kesenangan

Saturday, September 01, 2007

Sekelumit Catitan Faham dari Riyadu as-Solihin

betapa kita masih tidak memahami
tentang bezanya antara nikmat dan bala
kesudahan sesuatu yang kita tidak mengerti
kesan peristiwa yang kita masih buta

dengan ilmu yang Allah anugrahi
dengan taufiq sabar yang Allah bekali
dengan kasih kepada-Nya tersimpul di hati
serta lepasan reda kita mampu tanggungi

datanglah manis melayari peristiwa
mengira hati akan balasan syurga
memperolihi nikmat catatan pahala
menjalani hidup secara berpada

dilihat dunia kecil di mata
ditatang ibadat tiada terhingga
disebut Tuhan berhentinya tiada
memenuh dada syurga yang disegera

Tuesday, August 07, 2007

pencarian

yang kita cari adalah keselesaan
yang diperolihi adalah kegusaran
kerana kita tidak dapat apa yang diimpikan
serta apa yang dirancang tidak sepenuhnya berjalan
yang berjalan pula banyak cacat dan kekurangan

sekiranya yang kita tuju mampu dicapai
kita tidak terasa damai dan masih terkapai
ada sesuatu yang masih menganggu damai
kerana seakan masih ada yang belum selesai

seandainya kita punya kekuatan menunggu
kita tidak mencari hanya kita serahkan begitu
apa yang datang itulah yang kita tumpu
apa yang selain kita buat tak tahu
dan kita pun tidak punya selera serta rindu
kita tidak pula sedih atas apa yang berlalu
apa yang menjadi bahagian kita sebenarnya sudah ditentu

bolehkah kita kekang diri dari mahu ini dan itu
mampukah kita kejar setiap cita yang dipacu
Oh Tuhan, ajarlah hamba-Mu hikmat tasbih sibatu
serta tawakkal siburung terbang tanpa simpanan di saku
Oh Tuhan, Engkau cukupi rezki penghuni bumi-langit tanpa regu
sehingga semuanya beredar mengikut ajal yang sudah ditentu

Tuesday, April 17, 2007

petikan dari Fatimah Busu

Daun-daun kering bergemerisik
bergeselan pada hati yang asyik
pada airmata yang menitik
pada saat-saat maha pendek
pada keabdian sejarah yangterusik
bonda dan ayahandapun mendengarkannya