Friday, September 18, 2009

Ustaz Haji Musa: Gergasi Ilmu Yang Tersembunyi (I I )

Haji Musa kembali ke Malaya ketika pilihanraya pertama hampir diadakan. Beliau telah mengambil sikap untuk tidak mencampur persoalan politik kepartian. Abangnya Ustaz Haji Yusuf telah menjadi penyokong kuat Parti Negara, pimpinan Dato Onn Jaafar. Ketika dipelawa untuk menyertai Parti Negara oleh abangnya, beliau menjawab yang 'mengabungkan diri dalam organisasi ini adalah umpama menaiki bus, ada bus yang baik tetapi pemandunya bermasalah, dan ada pula pemandu yang baik tetapi bus yang bermasalah ", jadi beliau mengambil keputusan untuk berjalan sendiri.

Sebenarnya beliau membentuk pendiriannya terhadap politik kepartian, antara lain disebabkan dua faktor, pertamanya beliau diminta menyalin jawaban Pak Nik Leh kepada pertanyaan yang ditujukan kepada ulama di Makkah tentang hukum memberi sokongan kepada Masyumi di Indonesia; beliau mengatakan apa yang lebih pentingnya adalah dalil-dalil yang dijadikan hujjah oleh Pak Nik dalam membuat keputusan bahawa sokongan terhadap Masyumi adalah wajib, sebenarnya keputusan itu sendiri tertaaluk kepada kekuatan dalilnya. Keduanya beliau telah mengikut kursus selama 2 minggu anjuran Masyumi untuk mengenali ideologi politik, seperti demokrasi, sosialisma, kominisme dan lain-lain. Sikap beliau adalah tegal dan tidak mungkin digugat. Biasanya sebelum tiba pilihanraya, beliau lebih banyak bersendirian, katanya serabut dengan perbincangan soal-soal kepartian. Almarhum Haji Daud Pintu Geng telah mengatakan kepada beliau "ana tahu anta tak mengundi, tetapi doakanlah agar PAS menang". Dia menjawab yang dia tidak mahu berdoa sedemikian. Lalu Haji Daud bertanya "anta nak doa apa?". Dia menjawab sekiranya dia berdoa dia akan mendoakan agar yang lebih baik akan menang. Haji Daud mengatakan "tak apalah asalkan anta berdoa (dalam soal ini)".

Beliau jugamengesyur agar kita mengikat diri kita dengan huraian mazhab kita tanpa melakukan talfiq . Kenapa di waktu susah kita hendak berlepas diri dari pendapat dalam mazhab kita?, Kalau dalam berkawan sikap itu menunjukkan tiada setiakawan. Kecuali kita berfahaman ada pendapat yang lebih jelas dan lebih benar menepati sunnah; sehingga beliau mengatakan ada seorang rakannya yang berihram mengikut mazhab lain, lalu dia didatangi kesedaran seolah-olah Imam as_syafi'ie bertanya "kenapa ditinggalkan pendapat aku, adakah ianya salah?".

Bagaimanapun beliau mengesyurkan agar kita mengambil kira pendapat dalam lain-lain mazhab, umpamanya dalam masaalah membeli anak orang bukan Islam (yang kerap terjadi pada tahun 1960'an dan 70'an) untuk dijadikan anak angkat. Dia mengatakan bahawa walaupun dalam mazhab kita orang yang merdeka tidak dapat dijadikan hamba kecuali tawanan perang, tetapi mazhab Hanafi membenarkannya, jadi adalah lebih cermat untuk kita melafazkan niat memerdekakan anak yang dibeli itu.Begitu juga tentang pembayaran fidyah sembahyang bagi orang yang sudah meninggal, beliau menjelaskan yang amalan itu tiada dalam mazhab kita, mengikut ulama kita, warith hendaklah mengqada' sembahyang yang tertinggal. Pembayaran fidyah sembahyang itu terdapat dalam mazhab Hanafi. Bagaimanapun orang kita agak sukar untuk mengqadakan sembahyang simati, maka membayar fidyah itu umpama menahan pukat di beberapa tempat dengan harapan terkena ikan. Tuduhan orang yang mengatakan bahawa perbuatan menarik-sorong guni beras untuk membayar fidyah itu adalah perbuatan menipu Tuhan, dia mengatakan yang perbuatan menipu itu ialah perbuatan yang dialkukan dengan sangkaan yang ditipu tidak mengetahui apa yang sebenarnya, dalam hal ini perbuatan tarik-sorong itu dilakukan dengan keyakinan yang Tuhan Maha Melihat dan Maha Mendengar apa yang sedang dilakukan, tetapi ianya dilakukan sebagai ikhtiar untuk mencukupi jumlah cupak yang perlu dilunaskan dengan sumber yang terhad.

Beliau juga berpandangan bagi orang yang menunaikan haji tamattu', dia tidak disunnatkan melakukan umrah berbilang kali sebelum dia menyempurnakan ibadat haji. Di dalam mazhab kita, kerana kita melakukan umrah dalam musim haji (berserta dengan melakukan pula ibadat haji dalam permergian sama) maka bayaran dam dikenakan, baginya kenapa perlu diulang-ulang umrah itu?. Baginya ramai yang terkeliru di tempat perbincangan tentang qaul ulama mazhab kita tentang pembayaran dam bagi haji tamattu', Di dalam kitab disebut terdapat 3 pendapat tentang pembayaran dam : 1- berbilang dam dengan berbilang umrah. 2- memadai satu dam sekiranya umrah-umrah itu dilakukan sebelum pembayaran dam. 3-berbilang umrah memadai dengan satu dam tanpa syarat sebagaimana pendapat ke 2. Walaupun qaul yang ke 3 itulah yang kuat, ianya sekadar menunjukkan harus dilakukan dilakukan umrah berkali-kali sebelum melakukan haji, tetapi tiada pula disebutkan disunnatkan. Sehingga beliau mengatakan sekiranya terdapat mana-mana kitab feqah yag jelas mengatakan sunnat dikerjakan umarh berkali-kali, beliau ingin memberi sagu-hati kepada yang dapat membawa kitab itu sebanyak RM1'500 (katanya itu sahalah simpanan beliau).

Begitu juga dengan adab di kubur, beliau sangat mengambil-berat. Beliau tidak membenarkan duduk di atas belindan kubur kerana katanya hadith yang melarang duduk di atas kubur itu tidak perlu ditakwil dengan duduk untuk berak kencing kerana takwil ini digunakan apabila terdapat tempat kerumitan untuk beramal dengan yang zahir. Beliau sendiri akan memerhati untuk tidak melangkahi kubur,. Dan apabila membaca talqin mayat lelaki, beliau akan menghadap mayat serta membelangki qiblat. Dan apabila membaca talqin mayat perempuan beliau akan menghadap qiblat.; iaitu dari belakang mayat. Katanya kita hendaklah beradab dengan orang yang sudah meninggal sebagaimana kita beradab ketika mereka hidup. Beliau tidak menyukai pemasangan belindan kerana katanya bukankah terdapat larangan perbuatan mengapurkan kuburan, baginya belinda itu dari simen, iaitu sejenis kapur (memangpun dari segi kandungan CaCo3-nya) dan belindan menyusahkan orang untuk menggali lubang kubur berhampiran terutama sekiranya di atas tanah wakaf. Begitu juga perbuatan menghisap rokok di atas tanah perkuburan, baginya kenapa perlu dihambat malaikat rahmat yang hadir bersama akibat bau dan asap rokok?.

Beliau sendiri mengatakan beliau tidak boleh menerima hukum yang mengharamkan rokok, kerana tiada nas al-Quran dan sunnah untuk menyokong hukum itu. Dia mengatakan jangan disamakan haram rokok dengan haram arak, kerana haram arak itu haram pada 'ain arak itu sendiri, kalaupun rokok itu hendak dihukumkan haram, maka haramnya kerana ada 'illah-nya; umpama ia memudaratkan kesihatan seperti racun atau ikan buntal, atau kerana wangnya digunakan oleh musuh Islam untuk memerangi ummah atau umpamanya.[ Sekiranya mudarat kepada kesihatan, maka bagaimana tahap bahayanya dan kesepakatan tabib dalam hal ini, umpama ada makanan yang tidak sihat seperti monosodium glutamate, atau sebahagian pewarna makanan yang dikatakan boleh mengakibat kanser, atau apakah bahayanya apabila diambil berlebihan seperti gula dan lemak.]

Dia juga ketika membaca matan hadith yang menyebut sesiapa yang percaya kepada ramalan bintang (kaukab), dia kufur kepada apa yang dibawa oleh Muhammad; ini termasuk mempercayai kepada ramalan cuaca. Dia mengatakan ramalan cuaca dibuat berdasarkan pergerakan angin dan awan dan kedua elemen ini mempunyai 'driver-nya', arah angin dan pergerakan awan boleh bertukar arah dan kelajuan mengikut 'driver-nya'. Kita boleh mengambil panduan dari ramalan cuaca tetapi tidak boleh mempercayainya, sebagaimana kita juga boleh mengambil panduan dari petua orang tua tentang ketika (masa) serta hari baik-buruk, bertuah dan majal; sekadar panduan tanpa mempercayainya.

Beliau seorang yang menitik-berat tentang penggunaan perkataan, umpamanya beliau akan mengatakan perbuatan atau perkataan sebegini merosakkan iman tanpa menyebut ianya menyebabkan murtad. Dia mengatakan kita tidak semestinya mendoakan agar dijatuhkan penguasa yang zalim, memadai dengan berdoa agar dijadikan penguasa kita dari kalangan yang baik dan adil, maka yang zalim itu akan gugur sendirinya. Dia terkilan apabila ada seorang khatib yang menyebut 'sidang jumaat yang dihormati Allah', katanya ini keluar daripada orang yang tidak belajar usuluddin. Istilah hormat itu sepatutnya digunakan untuk golongan rendah kepada yang tinggi, seperti hormat anak kepada ibu-bapa dan hormat murid kepada guru. Mana mungkin dikatakan manusia dihormati Allah, sepatutnya katakanlah 'sidang jumaat yang dimuliakan Allah, manusia dimuliakan Allah dengan rahmat Islam dan Iman, dimuliakan Allah dengan ditaufiqkan dengan amalan ibadah dan ketaaatan.

Sekembali dari Makkah, Haji Musa dipertemu-jodohkan dengan Salma, anak kepada Tuan Guru Haji Idris Pondok Kota. Beliau tinggal bersebelahan , dalam rumah yang sama, dengan bapa mertuanya , begitu juga dengan abang iparnya Haji Salleh . Haji Salleh adalah seorang penuntut dan pengemar ilmu yang menghabiskan kebanyakan masa hayatnya bergelumbang dengan ilmu. Dia bukan setakat membaca kitab-kitab, bahkan banyak yang dihafalnya. Isteri serta dua anak perempuannya tinggal di Kota Bharu, Haji Salleh terus tinggal di kawasan madrasah/ pondok kecuali pada hujung minggu.

Haji Musa pernah memberitahu saya pengalamannnya dalam mendidik anak-anak, antara lain sekiranya kita mahu anak menumpu perhatian kepada pelajaran maka jangan biarkan dia mewah. Semakin tidak berduit, semakin pendeklah tumpuannya kepada perkara-pekara lain. Jangan dipukul anak dengan tangan kosong, kerana apa yang terlintas di hati kita ketika marah itu akan terus mengalir kepada anak, hendaklah dipukul menggunakan alat sebagai perantaraan (resistor bagi aliran dari hati). Sebelum menegur anak yang membuat kesalahan, hendaklah kita timbangkan sekiranya kita tengur apakah dia akan akur dengan teguran kita. Seandainya pada perkiraan kita, teguran kita itu tidak diikuti, janganlah ditegur lagi. Apabila dia engkar kepada teguran kita, itu bermakna dia melakukan maksiat, durhaka kepada orang tua. Kemungkinan maksiat itu lebih besar daripada maksiat yang sedang dilakukannya. Semakin banyak dia melakukan maksiat, semakin tebal-lah hijabnya, semakin tebal hijabnya semakin sukarlah untuknya kembali membetulkan kesalahan. Sebaliknya lakukan sesuatu yang jelas memberi isyarat kepada anak yang kita mengetahui perbuatannya dan kita tidak menyukai perbuatan tersebut dan lakukan usaha-usaha berdoa dan bersembahyang meminta Allah menganugerahi anak kita hidayah.

Haji Musa adalah seorang yang pendiam, dia banyak memerhati dan mendengar orang lain bercakap daripada dia sendiri bercakap. Dia mengatakan sikap diam itu banyak kelebihannya, antaranya orang lain tidak dapat menyukat sejauh mana pengetahuan kita dalam perkara yang mereka bincangkan, kadang kala mereka akan merasa malu dengan sendirinya.

Ketika membaca Durru ath-Thamin bagi Syaikh Daud al-Fatani, Haji Musa mengulas kenyataan yang Rasululullah tidak memakan makanan yang diperhangatkan semula ( makanan yang dimasak hanya sekadar cukup-cukup untuk sekali makan) dia menambah yang Imam as-Syafi'ie tidak memakan telor rebus yang bermalaman. (yakni Imam Syafi'ie hanya memakan telor rebus yang fresh). Dia juga mengulas kenyataan yang Rasulullah akan memakan roti bersama cuka atau lelemak; katanya kita sepatutnya makan nasi hanya dengan satu jenis lauk. Selain daripada menghayati sunnah Rasulullah; ia juga membolehkan kita mengetahui makanan mana yang tidak sesuai untuk kita dan juga apabila kita memakan makanan yang yang kita betul-betul terlior, perut kita akan menghadamnya dengan baik. Itulah juga amalan peribadinya.

Tuesday, September 15, 2009

Ustaz Haji Musa: Gergasi Ilmu Yang Tersembunyi ( I )

Saya mula mengikut halaqah menadah kitab Haji Musa di Madrasah Teluk Chat, berhampiran dengan rumah. Agaknya ketika itu saya berumur dua-puluhan. Tiada yang nampak istimewa pada pengajiannya itu, kecuali Haji Musa tidak banyak membuat huraian kepada isi kandungan kitab, dia sekadar membacanya seolah-olah membentang kertas kerja.



Tidak berapa lama setelah saya mengikut pengajian itu, saya dapat merasai bezanya. Sekiranya ditanya soalan yang relevan, Haji Musa akan menjawabnya dengan cara yang terperinci, kadang-kadang dalam menjawab soalan beliau akan mendatangkan perbandingan dengan kandungan kitab-kitab yang lain tentang subjek yang dibincangkan. Rupa-rupa beliau cukup bersedia untuk untuk pengajian itu walaupun sekiranya tiada soalan yang timbul, maka yang dapatnya hanyalah sebagai yang tertulis di dlam kitab. Ada juga kalanya beliau membuat tambahan kepada isi kitab untuk penjelasan, apabila beliau membuat tambahan, tambahan itu perlu dicatitkan kerana ianya penting.



Dengan kaedah pengajaran yang sebegitu, Haji Musa mampu menamatkan kitab Furu al-Masail dengan kadar yang agak cepat. Sekiranya terdapat soalan yang difikirnya sebagai tidak selayak atau komen yang tidak tepat, beliau sekadar berhenti mendengar dan kemudian menyambung balik pembacaan kitab tanpa menghirau soalan atau komen yang diajukan . Sekiranya ada soalan atau komen yang membangkit kemarahannya, dia akan bersuara tegas berserta dengan air-muka jelas menunjukkan kemarahannya. Agaknya yang kekal lama menadah kitab dengannya hanyalah mereka yang pernah disergah atau dijeling-tajam oleh beliau.



Pada suatu hari dia memberitahu saya yang sepatutnya dia membaca Furu al- Masail di Masjid Kota, tetapi dia tersilap bawa helaian kitab Sabilu al-Muhtadin yang diajarnya di Madrasah Jelutong; ketika dia mula membaca ada hadirin yang bertanya mukasurat yang dibacanya dan diapun memberitahu mereka. Kemudian semuanya berjalan seolah-olah seperti biasa, hanyalah ketika mengimami sembahyang isya', dia terlintas dan tersedar yang dia telah tersalah membaca kitab. Tiada siapapun yang memperingati beliau tentang hal itu. Saya memberi komen, kalau kita punggoh sangat, orang nak tegurpun tak berani. Dia diam semacam biasa tanpa memberi respon.



Haji Musa ada masanya juga bercerita kepada saya tentang perjalanan hidup beliau, antara cerita tentang kehidupannya ialah: beliau dilahirkan pada tahun Bah Merah (1926), ketika beliau berusia 8 tahun, ayahnya Haji Yahya ingin berangkat ke Makkah untuk mengurus ehwal anaknya, Hj Yusuf, abang kepada Haji Musa, kerana ayahnya (Hj Abdul Samad) yang mana Haji Yusuf tumpangi telah meninggal dunia di sana, [mengikut Almarhum Tuan Guru Hj Mokhtar Siram yang berada di Makkah ketika itu, Hj Abdul Samad meninggal ketika menaiki tangga rumahnya selepas membeli ubi setelor].

Haji Musa telah menyertai ahli keluarganya ke Singapura untuk menghantar orang tua beliau ke Makkah, setiba di Singapura beliau telah mengamuk-ngamuk unutk ikut serta ke Makkah. Untuk itu dia mendapat pasport di Singapura. Orang tuanya tinggal di Makkah untuk tempuh dua kali musim haji, Haji Musa berkeras untuk terus tinggal dan belajar di Makkah bersama abangnya. Antara guru awalnnya ialah Syaikh Nuh Jalaluddin al-Kelantani, seorang guru al-Quran yang terkenal di Makkah. Haji Musa sempat khatam al-Quran dua kali dengan Syaikh Nuh. Kemudian beliau memasukki Darul al-Ulum, yang ketika itu dipimpin oleh Sayikh Muhammad Yasin Al-Fadani.

Ketika pecah perang Dunia Kedua, kebanyakan pelajar dari Malaya telah pulang ke Tanahair menaiki kapal yang disediakan di Jeddah. Pada hari yang sepatutnya mereka bertolak pulang, Haji Musa telah berlambat-lambat dalam melaksanakan Tawaf Wida', sehingga dia ketinggalan bas yang mengangkut para pelajar. Dia merasa lega apalagi melihat abangnya juga sengaja ketinggalan dan tidak menyertai bas yang telah bertolak ke Jeddah.

Zaman Perang Dunia kedua adalah zaman yang perit bagi pelajar Melayu di Makkah, keluarga tidak dapat menghantar sebarang bekal dan wang untuk mereka. Haji Musa menghadiri halaqah pengajian hadith oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili ketika ini, antaranya kerana Syaikh Abdul Qadir telah mengagih-agihkan wang yang didermakan oleh hartawan Masir kepada pelajar-pelajar Nusantara yang melarat di Makkah. Haji Musa sekadar mampu menghadiri halaqah-halaqh pengajian, tetapi tidak berupaya membeli kitab-kitab yang dipelajari. Beliau berazam sekiranya beliau mempunyai wang yang memadai, beliau akan membeli kitab-kitab yang dipelajarinya itu.

Ada ketika beliau tidak memiliki apa-apa untuk dimakan, lalu beliau membuat keputusan untuk menyerahkan kepada Allah apa yang diputuskan-Nya. Katanya ketika beliau memasukki Majid al-Haram, peengawal pintu masjid terlah merepeh roti dan memberikan sebahagiannya kepada beliau, Dan selepas itu sedang beliau bersembahyang, seorang perempuan berpakaian semacam orang dari kawasan khalij (Teluk Parsi) telah melontar sejumalh wang ke atas sejadahnya. Peristiwa ini memberi kesan kepada beliau, beliau yakin sekiranya ada bahagian rezki yang telah ditentukan, maka rezki itu akan datang dengan usaha atau tanpa usaha. Beliau kerap mengunggap 'rezki mengejar kita lebih daripada maut mengejar kita".

Selepas perang, keadaan telah berubah. Keluarga telah mampu menghantar wang kepada beliau. Dengan ada wang yang agak banyak di tangan, dia mulai menyertai rakan-rakan bersiar-siar ke Jeddah dan Taif. Apabila wang di tanagn hampir kehabisan, beliau telah bertanya kepada dirinya ke mana azamnya dahulu, sekiranya ada wang dia akan membeli kitab-kitab tyang ditadah dan akan bersungguh-sungguh dalam belajar. Dia telah menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri yang beliau tidak dibenarkan tidur sebelum jam 12 malam, beliau mesti tekun belajar.

Setiap hari beliau akan keluar dari Kota Makkah dengan bas dan akan membaca kitab-kitabnya di kedai Qahwah, mungkin kerana hukuman inilah beliau kemudiannya telah lulus dari Daru al-Ulum sebagai pelajar kedua terbaik keseluruhannya. Beliau telah patuh sepenuhnya kepada hukuman diri beliau itu selama 2 tahun.

Selain belajar di Daru al-Ulum , beliau juga menadah dengan para guru di dalam masjid dan belajar kepada Syaikh Muhammad Ali al-Maliki di rumah syaikh tersebut. Beliau telah belajar antara lain, kitab al-Muwatta', Tafsir an-Nasafi dan Tafsir Ibnu al-Kathir dengan syaikh ini. Beliau kerap menyebut dengan penuh rasa syukur dan bangga kerana sempat belajar dengan syaikh yang hebat ini. Apabila bertemu dengan bacaan doa di dalam kitab-kitab yang ditadahnya dengan syaikh ini, beliau akan menunggu sehingga pelajar lain meninggalkan majlis, dan beliau akan meminta syaikh membacanya semula dengan alasan beliau mahu memberi baris, kemudian beliau pula akan membaca doa-doa tersebut dengan syaikh.



Setelah tammat pengajian di Daru al-Ulum, beliau ditawarkan untuk mengajar di Daru al-Ulum, pada suatu malam selepas maghrib ketika berada di luar Masjid al-Haram, beliau telah disapa oleh Syaikh Muhammad Salleh Idris al-Kelantani (yang dipanggilnya Pak Nik) bertanya kenapa beliau tidak berada di dalam halaqah pengajian di dalam masjid. Beliau menjawab yang walaupun beliau telah habis belajar selama 8 tahun di Dar al-Ulum, tetapi masih tiada mempunyai ilmu. Pak Nik mengatakan 'kerana mu tak belajar mantiq". Dia terus meminta Pak Nik mengajarnya mantiq, tetapi Pak Nik menyaran agar dia belajar dengan Syaikh Daud Sulaiman al-Kelantani (bekas muridnya Pa Nik, pada setiap pagi jumaat, Syaikh daud akan menziarahi Pa Nik di rumahnya). Kemudiannya Haji Musa disebabkan timbul sedikit masalah dengan pengurusan Dar al-Ulum, beliau berhenti mengajar di situ sebaliknya mengajar Bahasa Arab di Sekolah menengah kerajaan di Makkah.



Setelah meminta berkali-kali akhirnya Pak Nik bersetuju untuk mengajarnya mantiq, hanyalah kitab yang ingin diajarnya tidak dijual di kedai-kedaio buku di Makkah, Haji Musa telah memesan kitab tersebut kepada abangnya, Haji Yusuf yang melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Masir. Bermula dari situ, Haji Musa terus menjadi murid rapat kepada Pak Nik, antara lain dia juga menadah kitab al-Asma wa as-Sifat oleh Imam Baihaqi dengan Pak Nik. Pak Nik teleh mengajak beliau menemaninya berpergian ke Taif dan Jeddah, termasuklah menziarahi Syaikh Muhammad Ali al-Maliki yang telah berpindah ke Taif. Rakan paling akrab beliau pada masa itu ialah Tuan Guru Pak Man Berangan. Pak Nik leh kurang menepati waktu, masa belajar dengan beliau ialah antara maghrib dan Isya di rumah, tetapi kerap beliau hanya akan datang selepas isya. Jadi Haji Musa dan Pak Man secara bergilir menghadiri halaqah pengajian selepas maghrib di Masjid al-Haram, yang hadir akan memberitahu kepada yang tidak hadir apa-apa tambahan yang dibuat oleh guru bagi pengajian pada malam tersebut. Seorang lagi akan menunggu kalau-kalau Pak Nik akan datang awal, beliau akan marah sekiranya beliau datang tiada yang menunggu. Tingkap yang menghadap ke arah lorong akan dibuka, sekiranya yang balik dari masjid melihat Pak Nik sudah hadir, dia akan membeli roti, seolah-olah yang lewat itu relah keluar membeli roti!

Bagi Haji Musa, Pak Nik merupakan murabbinya. Dia telah mengalami beberapa keajaiban ketika menemani Pak Nik, Semasa beliau mahu pulang ke Malaya pada tahun 1955, Pak Nik menyarankan agar dia terus tinggal di Makkah dan berkahwin dengan anak saudaranya yang akan datang dari Pahang. Selepas Haji Musa kembali ke tanah air, Tuan Haji Abdullah Lubuk Tapah pula yang mendampingi Pak Nik.

Sunday, September 13, 2009

Dr.Ishaq Zafar Ansari: Cendiakawan Islam Berpekerti Sopan

[Saya membuat catitan ini antara lainnya agar anak-anak saya mengetahui siapakah orang-orang yang telah berjasa kepada ayah mereka. Siapakah yang telah membentuk sikap dan faham ayah mereka.]

Selepas menduduki MCE, saya telah menghantar surat kepada Kedutaan Saudi di Kuala Lumpur bertanyakan mana-mana universiti yang ada di negara itu yang ada menawarkan kursus-kursus sains dan teknikal yang boleh saya pohon.

Kedutaan Saudi telah membalas surat itu dengan memberi alamat University Of Petroleum & Minerals, Dhahran. Saya telah menghantar surat permohonan kepada University tersebut, kemudiannya saya telah memaklumkan peluang ini kepada rakan saya, Abdul Ghani Sidek.

Dipendekkan cerita, kami telah dihubungi oleh Saudara Anwar Ibrahim, yang ketika itu adalah presiden ABIM yang mempunyai pejabat bersekali dengan sekolah swasta Yayasan Anda di Jalan Lemah Pantai. Kami telah mengunjungi beliau, beliau telah ditanyai oleh Dr. Fahd ad-Dakhil, salah seorang dekan di universiti tersebut, tentang ehwal kami ketika beliau menghadiri suatu persidangan . Beliau telah memberi recommendation yang baik kepada kami. Alhamdulillah permohonan kami diterima.

Setiba kami di sana , tentu agak senang kami temui peribadi-peribadi yang mengenali Saudara Anwar, termasuklah Dr. Ishaq Zafar Ansari. Beliau mengajar Islamic subjects dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Pada masa itu ada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Ishaq yang tidak saya setujui, dan seperti biasa saya akan nyatakan pendirian saya secara jelas. Beliau adalah seorang pendidik yang sangat lapang dada, dia melayani kerenah saya dengan lembut dan penuh kasih-sayang.

Agaknya yang paling berkesan kepada kefahaman saya daripada lectures beliau ialah perspective yang betul dalam memahami perselisihan antara sahabat-sahabat Rasulullah. Beliau telah menyemai rasa hormat terhadap semua sahabat-sahabat Rasulullah dengan jayanya.

Kedua agaknya beliau mengajar saya untuk tidak taassub dengan mentor kita, saya pernah memaklumkan kepada beliau yang ada non-muslim di Aramco, yang tidak dapat menerima tulisan Maulana Maududi tentang sikap non-muslim di dalam bukunya Al-Hijab. Bagi mereka Maulana Maududi telah mengambil contoh extreme di dlam masyarakat barat, umpamanya nude beach pada tahun 1920'an di Amerika, sepatutnya Maulana Maududi mengambil sesuatu yang norms di dalam masyarakat barat. Dr. Ishaq dengan mudah bersetuju dengan kritikan mereka. Sedangkan beliau adalah seorang yang sangat rapat dengan Maulana Maududi, Maulana Maududi tidak berpuas-hati dengan terjemahan Inggeris bagi kitab tafsir al-Quran-nya, dan dia meminta Dr. Ishaq menterjemahkannya semula.

Beliau menyaran agar kami berwaspada dan jangan bertindak sesuka hati dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Beliau memberitahu ayahnya, Maulana Zafar Ansari, bekas ahli parlimen bagi Karachi telah bertemu pihak polis untukmembebaskan beberapa pelajar dari kumpulan Jamiatu at-Talabah yang di tahan. Beliau mengatakan kegiatan mereka tidak mengancam keselamatan negara.Seorang pegawai polis kemudiannya telah memainkan pita rakaman ucapan-ucapan oleh beberapa indidvidu daripada kumpulan ini yang jelas menunjukkan dalam semangat yang memarak, mereka telah mengatakan mereka sanggup berdepan & menggulingkan kerajaan. Rupa-rupa perjumpaan yang diadakan di tempat yang terpecil itupun telah dapat dikesan dan percakapan mereka telah dirakam oleh pihak polis!

Selepas saya kembali ke tanahair, saya berjumpa dengan beliau sekali sahaja, iaitu ketika Persidangan Antarabangsa Imam as-Syafi'ie yang diadakan di Hilton, PJ. Beliau mengadu yang beliau mengalami sakit diabatik, dan perlu menyuntik insulin. Beliau mengatakan ketika beginilah baharu kita sedar mahalnya puasa di bulan Ramadan, yang kita take for granted selama ini; iaitu kita berpuasa tanpa merasa nilai mahalnya sehingga kita tidak berupaya puasa lagi. Bagaimanapun kata beliau Alhamdulillah, beliau masih berkesempatan berpuasa, masih dibenarkan oleh doktor.

Ketika melakukan ibadat haji pada 4 tahun yang lepas, saya dan rakan-rakan telah menjadi tamu bagi Dr. Khayyat, bekas rektor International Islamic University di Nigeria, beliau adalah seorang rakan kepada Dr. Ishaq. Beliau memberitahu saya yang Dr. Ishaq masih di Islamabad bagaimanapun isteri beliau telah meninggal dunia.

Saya sangat berharap Allah mentaqdirkan saya berpeluang menemui Dr. Ishaq Zafar Ansari selepas sekian lama tidak bertemu mata. Semoga Allah menganugerahi kesejahteraan kepada beliau di dunia dan di akhirat.

Seorang lagi Ansari yang menjadi guru kepada saya ialah Dr. Abdul Haq Ansari, saya mengenali dia melalui tulisannya tentang ajaran-ajaran Syaikh Ahmad Sirhindi terlebih dahulu. Dia seorang yang sangat mengkagumi Maulana Maududi, sehingga pernah suatu hari saya memaklumkan kepadanya tentang tulisan Maulana Abu Hasan an-Nadwi 'Appreciation & Understanding Of Islam By Modern Men', yang mana buku itu khusus untuk mengeritik pandangan-pandangan Maulana Maududi dalam buku The Four Basic Quranic Terms , dia terus memberi respon yang buku itu ditulis selepas maulana Maududi meninggal, saya mengatakan tidak begitu kerana di dalam muqadimahnya, Maulana Abu Hasan menyebut yang beliau telah menghantar senaskah buku itu kepada Maulana Maududi, dan Maulana Maududi telah berterima-kasih dan meminta beliau memeriksa tulisan-tulisan lain oleh beliau dalam semangat yang sama. Lalu Dr.Abdul Haq berkata agaknya sewaktu itu Maududi sudah tidak sihat lagi!

Tidak disangka-sangka saya berjumpa semula dengan Dr. Abdul Haq di dalam bilik pejabat Ustaz Muhammad Akif di Raudah, Kaherah pada 3 tahun yang lalu. Ketika mula-mula melihat beliau saya terasa seolah-olah perlu bertemu, lalu saya menanyakan kepada salah seorang pengiring beliau, who is this gentleman?. Dia menjawab "he is Prof. Dr. Abdul Haq Ansari, the Amir of Jamaitu al-Islami of India". Lalu menghampir beliau dan bertanya "don't you recognise me?". Dia sudah tidak dapat mengingati paras saya, hanya selepas diperkenalkan nama saya oleh Ustaz Muhammad Akef, beliau bangun memeluk saya dalam keadaan hampir menitik air mata. Dia menceritakan dia bertanya-tanya ke mana saya menghilang dan dengan jamaah mana saya mengabungkan diri dari rakan-rakan yang mengenali saya.Setelah saya memaklumkan saya di Malaysia dan masih tidak mengabungkan diri saya dengan mana-mana jamaah, dia mengerakkan kepalanya perlahan-lahan dan mengucapkan "you're still like before, never change". Rupanya dia masih ingatkan sikap saya dahulu-dahulu....

Alhamdulillah di atas nikmat mengenali guru-guru yang sangat berjasa ini

Sunday, September 06, 2009

Gabungan Guru & Ayah: Dr Zaghloul Raghib an-Naggar (part II)

Selepas 6 bulan beliau menderita di dalam the inner prison, beliau dihadapkan kepada pegawai-pegawai penjara dan diberitahu yang esok harinya beliau akan dihadapkan ke mahkamah, Mereka memberi dia amaran supaya mengaku salah di atas tuduhan yang akan dikenakan, sekiranya beliau tidak mengaku bersalah ,beliau hanya akan dikembalikan ke the inner prison, bagi menyambung penderaan. Malam itu beliau tidak dapat tidur, kerana menimbangkan pilihan yang ada, sekiranya mengaku bersalah, beliau akan dijatuh hukuman bunuh dan dengan itu memperolihi syahid. Atau beliau tidak mengaku bersalah dan terpaksa meneruskan kehidupan yang penuh penyeksaan di dalam the inner prison,



Beliau bersembahyang dengan bertayyamum menggunakan debu-debu yang ada pada dinding kamar penjaranya. Selepas selesai sembahyang subuh, beliau dikuasai mengantuk dan terlena.



Dalam lenanya itu beliau bermimpi, beliau dibawa dalam sebuah kereta melalui jalan-jalan di Kaherah dan sampai ke bangunan besar yang mempunyai banyak kubah, bentuk bangunan itu ada persamaan dengan bangunan di Universiti Kaherah. Rupanya ianya adalah bangunan mahkamah, selepas semua piintu ditutup, sebuah pengumuman dibuat dengan laungan 'mahkamah'. Semua hadirin berdiri, tiba-tiba pintu utama mahkamah terbuka luas, seorang yang mempunyai paras yang sangat segak dan berkulit pitih bersinar memasukki pintu tersebut, hadirin bertakbir 3 kali "Allahu akbar, wa lillahi al-Hamd", srentak itu pentas di depan terus runtuh . Beliau bertanya kepada hadirin siapakah orang yang masuk itu?. Mereka menjawab itulah Saiyyidina Rasulullah datang untuk membela Ikhwan!



Beliau tersedar dari lenanya, kesan pertama yang dirasai sebagai terjaga adalah ketenangan, keberanian dan hilangnya sakit-sakit di seluruh tubuh akibat deraan selama ini. (cerita ini cukup bermakna bagi saya kerana ianya dapat memahamkan saya bagaimana keluarga Saiyyidina Yassar, Saiyyidina Bilal dan lainnya dapat melalui penderaan yang dahsyat dengan penawar beriman dan menatap wajah Rasulullah )Beliau membuat kesimpulan sekiranya Saiyyidina Rasulullah sendiri datang untuk membela Ikhwan, siapakah aku untuk mengkhaiantio perjuangan ini?



Kemudianya beliau diberi persalinan dan dibawa dengan kenderaan melalui jalan-jalan sebagaimana yang dilihatnya di dalam mimpinya. Sehingga sampai ke bangunan yang mempunyai banyak kubah, hanya bangunan dalam mimpi itu kelihatan lebih besar dan tinggi. Beliau menunggu pengumuman 'mahkamah', dan apabila dilaungakan 'mahkamah', seorang hakim telah naik untuk duduk di kerusi hakim. Dia adalah seorang dari keluarga An-Naggar. Dr.zaghloul mengatakan beliau telah membela diri dari tuduhan dengan tidak teragak-agak dan dikira pemegang rekod sebagai ahli Ikhwan yang paling lama diberi peluang berhujjah membela diri di dalam mahkamah pada era itu.



Sementara menunggu kenderaan membawa beliau balik semula ke penjara, seorang warder telah memberinya air minuman, sesuatu yang tidak dijangka sebelum ini. Dan beliau kemudiannya ditempatkan dalam penjara biasa, bukan lagi di the inner prison.



Kemudian beliau bermimpi Rasulullah datang lagi dan meberi isyarat tangan seolah-olah mengisyaratkan beliau keluar penjara. Sebaik beliau keluar dari penjara, rakan-rakan yang lain dengan segera telah menyediakan segala dokumen untuk beliau meninggalkan Masir, beliau telah membawa segala rock-samples yang telah dikumpulnya sebelum dipenjara yang berguni-guni banyaknya itu ke atas kapal menuju ke Italy. Mengikut beliau, beliau tidak terus ke Uk, kerana bimbang akan di intercept di dalam perjalanan.



Selepas membuat presentation kes kajiannya di universiti, beliau layak untuk terus meyediakan thesis Phd-nya, selepas menyelesaikan pengajian beliau dan bekerja sementara di Uk, beliau telah ke Riyadh University. Antara pelajar-pelajar beliau pada peringkat ini ialah Dr. Abdu Yamani, bekas Menteri Penerangan Saudi dan Dr. Abdullah Nasef, bekas rektor King Abdul Aziz University dan pengerusi Rabitah Alam Islami.



Dr. Abduh Yamani telah berperanan asebagai pengantara antara Dr. zaghloul dan keluarganya di Masir. Ayahnya adalah seoarng daripada golongan elite Masir, Zaghloul dinamakan dengan nama sedemikain kerana sempena nama rakan ayahnya Saad Zaghloul, Perdana Menteri Masir dahulunya. Abduh Yamani akan ke Masir pada musim cuti pengajian untuk menemui keluarga Dr. Zaghloul. Selama 19 tahun Dr. Zaghloul tidak pulang ke Masir.



Apabila beliau pulang ke Masir semula setelah Anwar Sadat mengumumkan sikap berbaik-baik dengan Ikhwan, beliau telah ditunggu oleh adik lelaki, seorang pegawai tentera udara di tangga pesawat. Sebaik sahaja beliau menjejak kakinya ke bumi Masir, adiknya yang siap beruniform telah datang untuk merangkulnya, beliau telah terkejut besar kerana menyangkakan bahawa dia adalah pegawai kerajaan yang datang untuk menangkapnya. Hanya selepas berlaku hingar-bingar beliau dimaklumkan yang datang merangkulnya tadi adalah adik beliau sendiri. (Sikap 'tidak mesra' kepada orang yang beruniform masih ada pada Dr. Zaghloul, dalam field-trip beliau akan menjauhi anggota beruniform dan meminta kami menguruskan apa-apa yang perlu dengan mereka ini tanpa beliau.)



Dr. Zaghloul lama juga mengajar di Kuwait Universiti dan menghabiskan sabbatical-nya di UCLA pada akhir tahun 1970'an. Kemudian beliau berpindah ke universiti di Qatar, sebelum beliau di datangi oleh Dr. Adnan Niazi, ketua jabatan earth sciences untuk ke Dhahran. Beliau datang ke Dhahran, ketika universiti UPM (UNiversity Petroleum & Minerals) mempunyai ramai aktivis Islam, antara nama yang tersohor ialah Dr. Ishaq Zafar al-Ansari, orang kanan Maulana Maududi, Dr. Abdul Haq Ansari, bekas amir Jamiat islami India, Dr. Ali Kettani dari Morokko yang banyak membuat kajian tentang muslim minorities, Dr. Abdul Sabur Saheen dari Masir dan ramai lagi dari Saudi sendiri. terdapat juga pensyarah-pensyarah dari Indo-Pak yang aktif dalam jamaah tabligh.



Penceramah yang dijemput ketika saya berada di sana antara lain yang masih dapat diingat ialah Syaikh Muhammad Qutb, Syaikh Said Hawwa, Syaikh Abdul Rabb Rasul Sayyaf , Khurram Jah Murad dari Islamic Foundationselain Syaikh Muhammad Salleh al-Uthaimin. Suasana Islam sangat subur, masjid-masjid kecil di Student Lines yang dimakmurkan oleh pelajar sangat tertonjol.
Itulah di antara masa-masa yang paling manis dalam kehidupan saya.

Selepas saya menghabiskan pelajaran saya. Dr. Zaghloul bersungguh-sungguh memujuk saya agar meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana, untuk membolehkan saya terus tinggal di Dhahran. Termasuklah beliau beberapa kali mengucapkan sekiranya beliau mempunyai anak , beliau akan menawarkan anak perempuannya untuk dijadikan isteri saya. Bagaimana pun beliau berusaha untuk menjodohkan sya dengan kenalan (anak usrahnya) dari Saudi dan dari kalangan anak-anak pensyarah di universiti. tetapi tidak ada jodoh.

Ketika saya hampir kembali ke Malaysia, beliau bertanya adakah saya akann mengadakan jamuan perpisahan dengan rakan-rakan, saya mejawab yang saya tidak mempunyai cadangan itu. Beliau menyanggupi untuk mengadakan makan malam di rumah beliau bagi pihak saya, dan jemput mana-mana rakan yang saya ingin jemput. Itulah Dr. Zaghloul, yang saya tidak tahu adakah sikapnya terhadap saya sebagai guru atau ayah, atau keduanya sekali.

Sekembali di Malaysia, saya menganggur untuk sekelian lama dan kemudian bekerja dengan syarikat Lankhorst Pancabumi Sdn Bhd, saya terlibat dalam kerja-keraja membalik-puleh tanah-tanah bekas lombong di Kg Pandan, Subang dan Setapak. Selepas bekerja untuk hampir 2 tahun, saya tertanya apa yang saya cari? Saya mencari kepuasan dan kebahagian, apakah yang saya cari itu dapat diperolihi di situ.

Saya kemudiannya bertekad untuk ke Masir, iaitu tanah air bagi Dr. Zaghloul, saya telah menelefon beliau, dan belaiu agak teragak-agak kerana saya begitu gopo h sebelum, perancangan yang baik dapat diatur. Saya telah ke Masir tanpa mempunyai sebarang perancangan dan tidak mengenali sesiapapun di sana. Mujurlah ada seorang pelajar Indonesia yang menaiki pesawat yang sama, yang mana rakan-rakan beliau yang menunggu beliau di airport telah menghantar saya ke Rumah Melayu di Abbasiyyah.

Keesukan harinya saya telah ke Hotel Aman, untuk menemui rakan lama Dr.Zaghloul, Ustaz Hasan Doah, seorang penulis dan veteran Ikhwan. Ketika musim cuti berikutnya , saya menjumpai Dr. Zaghloul di apartmentnya di Buruj Zamalek. Saya diperkenalkan kepada Ustaz Fahmi Abdul 'Aty, seorang banker dan pakar ekonomi serta veteran Ikhwan. Ustaz Fahmi Abdul Aty kemudian membawa saya berjumpa Ustaz Muhammad Mahdi Akif. Ustaz Muhammad Mahdi mengajak saya untuk bersembahyang maghrib dan isya bersamanya setiap petang selasa malam rabu di apartmentnya berhampiran Hadiqah ad-Dauliyyah. Kemudian beliau akan menghantar sya balik ke rumah sewa di Hayyu al-Asyir. Ketika itu beliau adalah seorang ahli parlimen dan seorang anggota Maktab Irsyad Ikhwan. Saya diperkenalkan kepada beberapa anggota lain, yang paling saya mesranya ialah dengan Ustaz Makmum al-Hudaibi. Syaikh Mustafa Masyhur berperwatakan terlalu serious untuk saya bertukar-tukar jokes. Ustaz Muhammad Mahdi Akif mengesyurkan kepada saya untuk mengambil peluang untuk mengenali kumpulan-kumpulan yang ada di masir, kecuali Tanzim Jihad. Mengikutnya sekiranya saya tertangkap bersama mereka ini , keadaan adalah rumit untuk membebaskan saya. Saya telah ke Iskandariyyah untuk menemui Ustaz Abbas Asisi untuk dua kali, saya melihat pada kehidupan disemerbakkan dengan kasih-sayang sebagaimana yang dihurainya dalam buku-buku kecil tulisannya. Dalam suatu lawatan saya ke Iskandariyyah sebelum kembali ke Malysia, saya telah menziarahi kediamannya di Syari' Ibrahim Masir, tetapi diberitahu beliau berada di kampng asal beliau di ar-Rashid dan beliau sedang sakit. Saya sekadar meninggalkan nama dan alamat saya sebagai tanda kunjungan saya sebelum kembali ke Malaysia. Ketika berada diakampong saya telah menerima sehelai surat dari beliau, beliau menyesali yang saya tidak menziarahi beliau di ar-Rashid, kerana dia mengatakan lawatan orang yang dikasihi akan menyembuh sipesakit, dan tanggung-jawab orang yang berkasih untuk menziarahi yang sakit.

Bagaimanapun kerana kecenderungan saya, saya telah menghadiri majlis zikir di masjid Sidi Solleh al-Ja'fari hampir setiap malam jumaat dan isnin. Saya juga hadir di Majid Husain pada pagi jumaat untuk bersama sekumpulan pengamal tariqah khalwatiyyah.

Dr. Zaghloul pernah menanya tentang keadaan kewangan saya, saya menjawab ianya mencukupi. Tetapi beliau meminta untuk melihat buku bank saya, dan beliau memberi wang melebihi 2'000 Dollars untuk saya gunakan. Ketika saya hampir balik ke Malaysia, saya benar-benar kesuntukan wang, saya menelefon Dr. Zaghloul meminta bantuan. Beliau agak terkilan kenapa selepas beliau meninggalkan Masir, barulah saya menyatakan perkara itu. Bagaimana beliau telah menyuruh isterinya yang sangat solehah, Urwa untuk mecari saya di Rumah melayu dan memberikan saya 1'000 Dollars.

Ketika saya berada di Masir juga, saya telah menerima surat dari Dr. Ishaq Zafar Ansari, dalam suratnya beliau mengatakan beliau telah menganggap saya sebagai anaknya sendiri, jadi sekiranya saya perlu apa-apa bantuan termasuk kewangan, beliau sedia membantu. Alhamdulillah Allah memperkenalkan dan menganugerhkan kepada saya guru-guru yang mengkasihi saya.

Sekembali ke Malaysia, Dr. Zaghloul pernah datang ek Kuala Lumpur untuk persidangan IIIT, saya telah menjemput beliau dan isteri ke Kelantan. Ustaz Uthman el-Muhammady menolong mengaturkan kedatangannya melalui Majlis Agama Islam. Mereka telah datang ke rumah saya untuk minuman petang, dan Dr. Zaghloul telah mendukung Ahmad Ibrahim, anak sulung saya. Saya juga kemudian ke Masir sebanyak 3 kali, dan saya ziarahi Dr. Zaghloul setiap kali saya ke Masir.

Itulah Dr. Zaghloul yang saya kenali, seorang yang berhati lapang dan sentiasa dalam keadaan berzikir. Saya pernah melemparkan pandangan-pandangan yang bertentangan dengan apa yang beliau usahakan, seperti dalam bidang scientific miracles in al-Quran, baliau telah menjawab pandangan saya dengan penuh perhatian tanpa meremehkannya.

Saya khayalkan agar Allah menganugerahi saya kekuatan daya ingat yang ada pada beliau, kelestarian amalan zikir yang menjadi darah-daging beliau, kedalaman maklumat dan fahaman terhadap ilmu yang dikuasainya, pertemuan-pertemuan beliau dengan Rasulullah dan kelapangan sikap dan usaha beliau yang tidak kenal penat dalam kerja-kerja dakwah. Semoga Allah memeliharanya dengan sebaik-baik pemeliharaan.

Saturday, September 05, 2009

Gabungan Guru & Ayah: Dr Zaghloul Raghib an-Naggar (part 1)

Saya mula-mula medengar Dr. Zaghloul berceramah di daam majlis berbuka puasa 10 muharam bersama Dr. Abdul Sabur Saheen. Ketika beliau memperingatkan kesetiaan dan cinta Saiyyidina Abu Bakar terhadap Saiyyidina Rasulullah ,Saiyyidina Abu Bakar ketika dalam perjalanan hijrah ke Madinah telah berpitar-putar dari kanan ke kiri, depan dan belakang Rasulullah, ketika ditanta oleh rasulullah, dia menjawab yang dia bimbang ada yang cuba memanah Rasulullah dari arah-arah itu, biarlah dia jadi menjadi penghadangnya; Dr. Zaghloul telah terisak-isak menangis. Warga pelajar terdiam dan turut menghayati gelombang dalaman Dr. Zaghloul ketika itu. Majlis itu diadakan di perkarangan student's living line. Itu adalah pada awal tahun 1980.

Saya tiba di Dhahran ketika peristiwa Juhaiman al-Otaibi dan pengikutnya memasukki Masjid al-Haram. Ianya merupakan detik sejarah yang terawal yang berlaku pada pintu gerbang kurun ke 15 hijrah dalam kalendar ummah ini.

Saya memang menaruh harapan untuk mengenali Dr. Zaghloul secara yang lebih dekat. Alhamdulillah, kesempatan itu diperolihi dengan mudah kerana saya mengambil jurusan geology, Dr. Zaghloul adalah professor di jabatan tersebut. Saya telah berkesempatan mengambil courses yang diajar oleh beliau. Beliau memang tekun mengajar kami, sehingga pernah ketika kami mengambil Petroleum Geology , satu kursus yang 3 jam kredit, beliau telah meminta kami mengadakan kelas-kelas malam untuk beliau menghabiskan bahan-bahan yang beliau mahu ajarkan. Sebahagian daripada kami telah merungut kepada beliau yang pada semester sebelumnya beliau mengajar subjek yang sama kepada graduate students, tidak sebanyak itu bahan yang beliau ajarkan. Dengan senyum beliau menjawab ilmu adalah amanah, maklumat yang beliau perolihi sekarang lebih banyak daripada bahan yang terkumpul pada semester sebelumnya, dan beliau perlu mencurahkan segala maklumat itu. Kami sekadar mengeluh...

Menjelang peperiksaan beliau dengan nada yang serious memberi kami amaran agar jangan sekali-kali meniru jawaban rakan. Sekiranya sikap amanah dan jujur tidak terbentuk dengan proses pembelajaran yang telah dilalui, maka ianya adalah sesuatu kegagalan, Maka seseorang yang ditangkap meniru walaupun satu perkataan dalam soalan 'fill in the blanks' akan diberi markah gagal. Dan sesiapa yang sekadar menulis nama dan menghantar kertas jawaban kosong akan diberi gred 'c'; kerana paling kurang dia telah belajar menjadi seorang yang jujur!

Bagi beliau sekiranya pelajar yang sentiasa hadir kelas, membuat segala assignments yang diberi tetapi masih gagal untuk mendapat sekurang-kurangnya gred 'c', maka kesalahannya adalah di atas pensyarah. Dia lah yang sebenarnya gagal memahamkan pelajarnya untuk paling minima mendapat gred c. Dr. Zaghloul juga sangat meneliti grammar mistakes yang dibuat oleh pelajar dalam menulis jawaban.

Saya dianugerahi Allah kesempatan untuk bergaul dengan beliau secara dekat ialah ketika kami, pelajar tahun 4 membuat field trip selama 44 hari, bermula dari Dhahran ke sempadan Iraq (pekan Arar), kemudian ke sempadan Jordan (pekan Turaif), menyulusuri rock-out crops yang sangat kaya dengan fossils. Di kawasan ini kami banyak tertumpu kepada batu-batu yang mempunyai kandungan phosphate. Kemudian turun ke Tabuk, sebuah bandar kecil yang sangat bersih dan aman. Apa yang disebut oleh Muhammad Asad dalam bukunya The Road To Mecca tentang kebersihan Tabuk masih merupakan kenyataan sehingga kini. Granitic rocks-nya yang berwarna hitam melahirkan anggapan yang persekitarannya sungguh bersih. Kami juga melalui pekan lama Dummatu al-Jandal. Kubu yang digunakan semasa pemerentahan aiyyidina Umar masih ada kesan-kesannya di sini. Rock outcrops-nya juga sangat berwarna-warni.

Kami turun melalui kawasan yang berhampiran dengan Madain Soleh pada waktu hampir maghrib. Mula-mulanya Dr. Zaghloul bercadang agar kami berkhemah di situ kerana sandstones di bukit-bukitnya yang terpahat itu sangat menarik. Tetapi apabila diperingatkan pesan Rasulullah kepada para sahabat agar melalui kawasan itu dengan kadar yang segera, maka cadangan itu dibatalkan. Kami terus turun ke Madinah.

Dalam pengembaraan ini, Dr. Zaghloul tidur di dalam caravan, dan kami para pelajar akan memasang khemah sebagai tempat tidur. Tukang masak kami adalah seorang dari Yaman, yang kerap mengunyah daun qat dan dibantu oleh seorang pemandu dari Pakistan. Sepanjang malam-malam yang kami lalui ini, Dr. Zaghloul akan melaungkan azan sembahyang subuh dan kemudian mengejutkan kami dari tidur. Memang kami sangat letih, sepanjang-panjang ada cahaya matahari kami memanjat bukit dan menuruni lembah untuk mengutip samples batu-batan. Bagaimana Dr. Zaghloul yang ketika itu berumur 52 tahun begitu bertenaga berbanding kami yang berumur awal 20'an.

Beliau memberitahu kami yang beliau telah menghabiskan satu juz setengah al-Quran sebelum beliau melaungkan azan subuh pada setiap pagi. Pada suatu petang saya menaiki truck yanbg dipandu oleh rakan Abdul Karim az-Zahrani bersama Dr. Zaghloul, beliau mengeluarkan buku kecil al-Mathurat, lalu saya bertanya kenapa perlu beliau membacanya dari naskhah, sepatutnya beliau telah menghafalnya. Beliau mengatakan yang beliau membaca dari naskhah itu kerana untuk meneliti kesilapan cetakan, cetakan Lubnan yang beliau teliti terdapat beberapa kesilapan.

Seorang pelajar sarjana, Waseem dari Pakistan pernah bertanya kepada Dr. Zaghloul ketika kami sama-sama memanjat bukit, adakah mulut beliau yang sentiasa kumat-kumit itu kerana membaca doa agar ditemui out-crops yang berbaloi. Beliau mengatakan tidak, tetapi beliau mengulang-ulangi kalimah syahadah agar batu-batu dan tumbuhan di situ akan menjadi saksi di depan Allah kelak yang beliau melafazkan syahadah.

Masa dalam perjalanan ini banyak memberi peluang kepada kami untuk mengenali beliau. Beliau seorang yang sangat menjaga makanannya. Beliau memberitahu ketika beliau sedang menghabiskan pembelajaran Phd-nya di Wales University, untuk masa 2 tahun beliau hanya memakan kekacang dan tamar (nuts & dates) , sehinggalah beliau menemui rakan dari Pakistan yang menyediakan masakan makanan halal untuk beliau.

Beliau mudah untuk menguasai sesuatu bahasa, beliau menulis profesional papers dalam bahasa Inggeris, Peranchis, German dan Arab. Beliau juga dapat membaca bahasa Russia (kerana pernah bekerja dengan geologis Russia di kawasan Aswan. Masir selama 6 bulan), Latin dan Welsh. Beliau adalah pelajar terbaik di seluruh Masir ketika tamat sekolah menengah.

Beliau memperolihi Phd ketika berumur 28 tahun, appendix thesis-nya tentang fossil in Upper Egypt telah diterbitkan oleh British Museum. Dan pada tahun 1982, ianya telah dicetak untuk kali ke 20. Beliau juga terlibat dalam explorasi minyak di North Sea,UK. Agaknya bagi batu-batan cretaceous, beliau merupakan tokoh no.1 dunia. Ketika meneliti microscope bagi rock thin sections yang kami sediakan dari samples yang dibawa balik dari field trip, dengan mudah beliau mengenal pasti nama-nama fossil termasuk planktonic dan benthonic. Saya menanyakan beliau bagaimana beliau mampu mengecam begitu banyak bentuk fossil yang terpotong dari sudut-sudut yang berbeza, beliau menjawab itu adalah anugerah Allah, sehingga Prof Allen Woody yang menjadi supervisor beliau ketika menyediakan thesis Phd juga hairan dengan kekuatan ingatan dan pengecaman beliau itu, sehingga beliau boleh merujuk secara spontan mukasurat rujukan dalam pengenalan fossils tersebut.

Kembali kepada cerita perjalanan field trip itu, dalam perjalanan ke Madinah. Abdul kareem mendatangi saya dan mengatakan Dr. Zaghloul mengajak saya untuk menaiki truck bersama beliau. Dalam perjalanan tersebut, beliau berulang-ulang kali menyebut "kita akan menziarahi Rasulullah". Sehingga saya tertanya beliau bagaimana boleh beliau begitu excited untuk menemui Rasulullah, seolah-olah Rasulullah yang masih hidup. Beliau menjawab dengan spontan "wallahi, yang akan kita ziarah adalah Rasulullah yang hidup". Saya bertanya bagaimana boleh beliau membuat kenyataan sedemikian, Beliau mulai bercerita panjang dengan penuh ingatan dan kenangan yang begitu menyentuh jiwa saya.

Beliau mengatakan beliau mulai berjinak-jinak dengan Ikhwan al-Muslimin ketika umurnya 13 tahun, ketika itu Imam Hassan al-Banna datang memberi ceramah di masjid di kawasan kediaman keluarga beliau. Selepas ceramah itu ramai yang memberi bai'ah kepada Imam Hassan al-Banna termasuklah beliau.
Ketika beliau belajar di Cairo University, beliau aktif dengan kegaiatan Ikhwan, dan ketika beliau mula menyambung pelajarannya di peringkat sarjana, beliau telah ditangkap di atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan Jamal Abdul Naseer secara pemberontakan bersenjata. Beliau telah dikurung bersama rakan-rakan dari Ikhwan dalam inner prison, iaitu penjara dalam penjara. Kawasan yang dikhaskan untuk banduan yang dianggap mengancam. Beliau diseksa, dibenarkan ke tandas hanya kadar 10 minit dalam masa 24 jam. Dipertontonkan penyeksaan ke atas rakan yang lain sehingga yang diseksa itu meninggal dunia.