Tuesday, September 15, 2009

Ustaz Haji Musa: Gergasi Ilmu Yang Tersembunyi ( I )

Saya mula mengikut halaqah menadah kitab Haji Musa di Madrasah Teluk Chat, berhampiran dengan rumah. Agaknya ketika itu saya berumur dua-puluhan. Tiada yang nampak istimewa pada pengajiannya itu, kecuali Haji Musa tidak banyak membuat huraian kepada isi kandungan kitab, dia sekadar membacanya seolah-olah membentang kertas kerja.



Tidak berapa lama setelah saya mengikut pengajian itu, saya dapat merasai bezanya. Sekiranya ditanya soalan yang relevan, Haji Musa akan menjawabnya dengan cara yang terperinci, kadang-kadang dalam menjawab soalan beliau akan mendatangkan perbandingan dengan kandungan kitab-kitab yang lain tentang subjek yang dibincangkan. Rupa-rupa beliau cukup bersedia untuk untuk pengajian itu walaupun sekiranya tiada soalan yang timbul, maka yang dapatnya hanyalah sebagai yang tertulis di dlam kitab. Ada juga kalanya beliau membuat tambahan kepada isi kitab untuk penjelasan, apabila beliau membuat tambahan, tambahan itu perlu dicatitkan kerana ianya penting.



Dengan kaedah pengajaran yang sebegitu, Haji Musa mampu menamatkan kitab Furu al-Masail dengan kadar yang agak cepat. Sekiranya terdapat soalan yang difikirnya sebagai tidak selayak atau komen yang tidak tepat, beliau sekadar berhenti mendengar dan kemudian menyambung balik pembacaan kitab tanpa menghirau soalan atau komen yang diajukan . Sekiranya ada soalan atau komen yang membangkit kemarahannya, dia akan bersuara tegas berserta dengan air-muka jelas menunjukkan kemarahannya. Agaknya yang kekal lama menadah kitab dengannya hanyalah mereka yang pernah disergah atau dijeling-tajam oleh beliau.



Pada suatu hari dia memberitahu saya yang sepatutnya dia membaca Furu al- Masail di Masjid Kota, tetapi dia tersilap bawa helaian kitab Sabilu al-Muhtadin yang diajarnya di Madrasah Jelutong; ketika dia mula membaca ada hadirin yang bertanya mukasurat yang dibacanya dan diapun memberitahu mereka. Kemudian semuanya berjalan seolah-olah seperti biasa, hanyalah ketika mengimami sembahyang isya', dia terlintas dan tersedar yang dia telah tersalah membaca kitab. Tiada siapapun yang memperingati beliau tentang hal itu. Saya memberi komen, kalau kita punggoh sangat, orang nak tegurpun tak berani. Dia diam semacam biasa tanpa memberi respon.



Haji Musa ada masanya juga bercerita kepada saya tentang perjalanan hidup beliau, antara cerita tentang kehidupannya ialah: beliau dilahirkan pada tahun Bah Merah (1926), ketika beliau berusia 8 tahun, ayahnya Haji Yahya ingin berangkat ke Makkah untuk mengurus ehwal anaknya, Hj Yusuf, abang kepada Haji Musa, kerana ayahnya (Hj Abdul Samad) yang mana Haji Yusuf tumpangi telah meninggal dunia di sana, [mengikut Almarhum Tuan Guru Hj Mokhtar Siram yang berada di Makkah ketika itu, Hj Abdul Samad meninggal ketika menaiki tangga rumahnya selepas membeli ubi setelor].

Haji Musa telah menyertai ahli keluarganya ke Singapura untuk menghantar orang tua beliau ke Makkah, setiba di Singapura beliau telah mengamuk-ngamuk unutk ikut serta ke Makkah. Untuk itu dia mendapat pasport di Singapura. Orang tuanya tinggal di Makkah untuk tempuh dua kali musim haji, Haji Musa berkeras untuk terus tinggal dan belajar di Makkah bersama abangnya. Antara guru awalnnya ialah Syaikh Nuh Jalaluddin al-Kelantani, seorang guru al-Quran yang terkenal di Makkah. Haji Musa sempat khatam al-Quran dua kali dengan Syaikh Nuh. Kemudian beliau memasukki Darul al-Ulum, yang ketika itu dipimpin oleh Sayikh Muhammad Yasin Al-Fadani.

Ketika pecah perang Dunia Kedua, kebanyakan pelajar dari Malaya telah pulang ke Tanahair menaiki kapal yang disediakan di Jeddah. Pada hari yang sepatutnya mereka bertolak pulang, Haji Musa telah berlambat-lambat dalam melaksanakan Tawaf Wida', sehingga dia ketinggalan bas yang mengangkut para pelajar. Dia merasa lega apalagi melihat abangnya juga sengaja ketinggalan dan tidak menyertai bas yang telah bertolak ke Jeddah.

Zaman Perang Dunia kedua adalah zaman yang perit bagi pelajar Melayu di Makkah, keluarga tidak dapat menghantar sebarang bekal dan wang untuk mereka. Haji Musa menghadiri halaqah pengajian hadith oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili ketika ini, antaranya kerana Syaikh Abdul Qadir telah mengagih-agihkan wang yang didermakan oleh hartawan Masir kepada pelajar-pelajar Nusantara yang melarat di Makkah. Haji Musa sekadar mampu menghadiri halaqah-halaqh pengajian, tetapi tidak berupaya membeli kitab-kitab yang dipelajari. Beliau berazam sekiranya beliau mempunyai wang yang memadai, beliau akan membeli kitab-kitab yang dipelajarinya itu.

Ada ketika beliau tidak memiliki apa-apa untuk dimakan, lalu beliau membuat keputusan untuk menyerahkan kepada Allah apa yang diputuskan-Nya. Katanya ketika beliau memasukki Majid al-Haram, peengawal pintu masjid terlah merepeh roti dan memberikan sebahagiannya kepada beliau, Dan selepas itu sedang beliau bersembahyang, seorang perempuan berpakaian semacam orang dari kawasan khalij (Teluk Parsi) telah melontar sejumalh wang ke atas sejadahnya. Peristiwa ini memberi kesan kepada beliau, beliau yakin sekiranya ada bahagian rezki yang telah ditentukan, maka rezki itu akan datang dengan usaha atau tanpa usaha. Beliau kerap mengunggap 'rezki mengejar kita lebih daripada maut mengejar kita".

Selepas perang, keadaan telah berubah. Keluarga telah mampu menghantar wang kepada beliau. Dengan ada wang yang agak banyak di tangan, dia mulai menyertai rakan-rakan bersiar-siar ke Jeddah dan Taif. Apabila wang di tanagn hampir kehabisan, beliau telah bertanya kepada dirinya ke mana azamnya dahulu, sekiranya ada wang dia akan membeli kitab-kitab tyang ditadah dan akan bersungguh-sungguh dalam belajar. Dia telah menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri yang beliau tidak dibenarkan tidur sebelum jam 12 malam, beliau mesti tekun belajar.

Setiap hari beliau akan keluar dari Kota Makkah dengan bas dan akan membaca kitab-kitabnya di kedai Qahwah, mungkin kerana hukuman inilah beliau kemudiannya telah lulus dari Daru al-Ulum sebagai pelajar kedua terbaik keseluruhannya. Beliau telah patuh sepenuhnya kepada hukuman diri beliau itu selama 2 tahun.

Selain belajar di Daru al-Ulum , beliau juga menadah dengan para guru di dalam masjid dan belajar kepada Syaikh Muhammad Ali al-Maliki di rumah syaikh tersebut. Beliau telah belajar antara lain, kitab al-Muwatta', Tafsir an-Nasafi dan Tafsir Ibnu al-Kathir dengan syaikh ini. Beliau kerap menyebut dengan penuh rasa syukur dan bangga kerana sempat belajar dengan syaikh yang hebat ini. Apabila bertemu dengan bacaan doa di dalam kitab-kitab yang ditadahnya dengan syaikh ini, beliau akan menunggu sehingga pelajar lain meninggalkan majlis, dan beliau akan meminta syaikh membacanya semula dengan alasan beliau mahu memberi baris, kemudian beliau pula akan membaca doa-doa tersebut dengan syaikh.



Setelah tammat pengajian di Daru al-Ulum, beliau ditawarkan untuk mengajar di Daru al-Ulum, pada suatu malam selepas maghrib ketika berada di luar Masjid al-Haram, beliau telah disapa oleh Syaikh Muhammad Salleh Idris al-Kelantani (yang dipanggilnya Pak Nik) bertanya kenapa beliau tidak berada di dalam halaqah pengajian di dalam masjid. Beliau menjawab yang walaupun beliau telah habis belajar selama 8 tahun di Dar al-Ulum, tetapi masih tiada mempunyai ilmu. Pak Nik mengatakan 'kerana mu tak belajar mantiq". Dia terus meminta Pak Nik mengajarnya mantiq, tetapi Pak Nik menyaran agar dia belajar dengan Syaikh Daud Sulaiman al-Kelantani (bekas muridnya Pa Nik, pada setiap pagi jumaat, Syaikh daud akan menziarahi Pa Nik di rumahnya). Kemudiannya Haji Musa disebabkan timbul sedikit masalah dengan pengurusan Dar al-Ulum, beliau berhenti mengajar di situ sebaliknya mengajar Bahasa Arab di Sekolah menengah kerajaan di Makkah.



Setelah meminta berkali-kali akhirnya Pak Nik bersetuju untuk mengajarnya mantiq, hanyalah kitab yang ingin diajarnya tidak dijual di kedai-kedaio buku di Makkah, Haji Musa telah memesan kitab tersebut kepada abangnya, Haji Yusuf yang melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Masir. Bermula dari situ, Haji Musa terus menjadi murid rapat kepada Pak Nik, antara lain dia juga menadah kitab al-Asma wa as-Sifat oleh Imam Baihaqi dengan Pak Nik. Pak Nik teleh mengajak beliau menemaninya berpergian ke Taif dan Jeddah, termasuklah menziarahi Syaikh Muhammad Ali al-Maliki yang telah berpindah ke Taif. Rakan paling akrab beliau pada masa itu ialah Tuan Guru Pak Man Berangan. Pak Nik leh kurang menepati waktu, masa belajar dengan beliau ialah antara maghrib dan Isya di rumah, tetapi kerap beliau hanya akan datang selepas isya. Jadi Haji Musa dan Pak Man secara bergilir menghadiri halaqah pengajian selepas maghrib di Masjid al-Haram, yang hadir akan memberitahu kepada yang tidak hadir apa-apa tambahan yang dibuat oleh guru bagi pengajian pada malam tersebut. Seorang lagi akan menunggu kalau-kalau Pak Nik akan datang awal, beliau akan marah sekiranya beliau datang tiada yang menunggu. Tingkap yang menghadap ke arah lorong akan dibuka, sekiranya yang balik dari masjid melihat Pak Nik sudah hadir, dia akan membeli roti, seolah-olah yang lewat itu relah keluar membeli roti!

Bagi Haji Musa, Pak Nik merupakan murabbinya. Dia telah mengalami beberapa keajaiban ketika menemani Pak Nik, Semasa beliau mahu pulang ke Malaya pada tahun 1955, Pak Nik menyarankan agar dia terus tinggal di Makkah dan berkahwin dengan anak saudaranya yang akan datang dari Pahang. Selepas Haji Musa kembali ke tanah air, Tuan Haji Abdullah Lubuk Tapah pula yang mendampingi Pak Nik.

No comments: