Tuesday, October 19, 2010

Pertemuan Yang Menyegarkan II

Saya sempat bertanya Dr.Zaghloul tentang beberapa pandangan belia. Antaranya beliau bercerita tentang keberkesanan dakwah Yusuf Islam di England, termasuk pengurusan hotel olehnya. Bagimana pekerja hotel tersebut memakai pakaian menutup kepala walaupun dari kalangan bukan Islam kerana ianya adalah arahan pentadbiran. Bagaimana suara azan melalui sound-pipe diperdengarkan ke setiap bilik menjelang waktu sembahyang.

Beliau melahirkan rasa tidak setuju beliau dengan beberapa amalan yang dilakukan oleh ulama Hejaz dan Yaman, bagi beliau penduduk Hejaz menjadi cenderung kepada sufi kerana protest mereka terhadap penguasaan pihak Najd, bukan bertunjangkan kefahaman. Beliau mengeritik kerana dalam majlis yang dianjurkan dan dihadiri oleh ulama terkemuka dari pelbagai tempat, banyak diisi dengan madih (seakan nasyid memuji Rasululullah), bagi beliau adalah lebih tepat dan bermanafaat sekiranya ulama yang belbagai tersebut diberi peluang untuk berkongsi ilmu dan 'ibrah. Beliau meluahkan pandangan beliau dengan penuh semangat dan emosional. Itulah antara kekuatan seorang yang sudah berusia 77 tahun untuk terus aktif menulis dan menyampaikan ilmu dengan penuh kegigihan.

Beliau mengatakan keperluan kepada perpaduan ummah, termasuk berkerjasama dengan puak yang belbagai, salafi-nya, tabligh-nya, sufi-nya dan lainnya. Beliau bersangka baik terhadap Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab, yang dikatakan seorang muslih di zamannya yang diselubungi sepenuhnya oleh kejahilan dan kesesatan. Begitupun bagi Dr.Zaghloul, tulisan dan ajaran Syaikh Muhammad Abdul Wahab tidak relevan dengan zaman kita.

Kita menyebut tentang Almarhum Tengku Abdul Rahman, bagaimana beliau begitu gigih dalam kerja-kerja mengislamkan masyarakat yang bukan Islam dan pada masa yang sama beliau masih 'enjoy' corak kehidupan yang liberal. Semoga Allah menilik beliau dengan tilik rahmat!


Tidak banyak yang berubah, Dr.Zaghloul masih bersemangat, bahkan beliau berjanji akan datang semula ke Malaysia sekiranya ada jemputan selepas musim Haji ini. Dr.Zaghloul yang ingatannya sangat kuat, seorang yang banyak berzikir, seorang guru yang pengasih, seorang peribadi bapa yang perihatin........

Tuesday, October 05, 2010

Pertemuan Yang Menyegarkan I

Saya sepatutnya ke Cambodia lagi pada 23hb.Oktober yang lalu. Taqdir Allah menentukan yang ayah kepada pegawai yang sepatutnya menjadi 'contact person' di sana telah meninggal pada 21hb. Pada 22hb, saya menelefonnya dan dia memberitahu yang dia berada di kuil di kampongnya. Sami belum memutuskan hari baik untuk mengurus jenazah ayahnya, belum juga ditentukan semada untuk di bakar atau ditanam. Kami terpaksa menangguhkan pemergian ke sana.

Pada 20hb sebelum itu saya menerima SMS daripada saudara yang dikasihi yang guru saya, Dr.Zaghloul Raghib El-Naggar akan ke Kuala Lumpur pada 23hb sehingga 27hb, saya menjadi sangat berat hati. Bagaimana mungkin saya tidak berjumpa dengan peribadi yang sangat berjasa dalam hidup saya? Sedangkan saya telah berjanji dengan beberapa kenalan untuk ke Cambodia pada tarikh yang sama?

Saya mampu berdoa kepada Allah supaya saya memperolihi apa yang terbaik, Tuhan menentukan saya tidak ke Cambodia, tiket penerbangan ke K.L pergi balik dapatlah saya manafaatkan untuk datang ke KL untuk bertemu Dr. Zaghloul.

Saya menghubungi pihak USIM untuk bertanya tentang kedatangan Dr. Zaghloul, nampaknya pegawai yang saya hubungi tidak tahu-menahu. saya menghubungi al-Fadil Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri, bekas pensyarah USIM dan beliau telah menghubungi beberapa rakannya di USIM, tetapi mereka juga tidak tahu-menahu. Saya juga menghubungi Sdr. Dr. Mohd Fuad Abdullah, yang mana isterinya menjadi tenaga pengajar di USIM, isterinya juga bertanya khabar tetapi mereka juga tidak tahu. Saya layari web-site USIM, juga tiada berita. Yang ada sekadar Tun Mahathir akan dianugerahkan Doktor Kehormat. Nama Dr. Zaghloul langsung tidak tersebut. Saya menelifon no. Dr.Zaghloul di Masir, tetapi tidak dapat dihubungi. Saya menelifon Dar as-Shuruq, penerbit buku-buku karangan Dr.Zaghloul tetapi mereka juga tidak tahu menahu.

Aduhai, saya mampu berdoa. Pada 24hb, saya menelifon Hotel Marriot untuk bertanya kemungkinan Dr.Zaghloul menginap di sana, juga tidak dapat. Hanya saya dimaklumkan yang ustaz Adel al-Moallim, dari Dar as-Shuruq ada booking di hotel tersebut. Sebelum Maghrib, saya dapat menghubungi Adel, dan dia maklumkan yang Dr. Zaghloul berada di Hotel Pullman, Putrajaya. Itulah perkhabaran yang terawal yang saya terima yang dapat mengesahkan yang Dr.Zaghloul memang berada di Malaysia.

Saya menelifon ke Hotel Pullman, dan dapat bercakap dengan isteri Dr.Zaghloul. Dr. Zaghloul masih di USIM kerana rehearsal. Malam itu saya telefon lagi, dan pihak hotel memaklum yang Dr.Zaghloul telahg keluar dan telah meninggalkan pesanan untuk saya hubungi beliau pada no tel Ustaz Syed Tarmizi, Alhamdulillah saya dapat bercakap dengan Dr.Zaghloul. Keesukannya pagi-pagi lagi saya dan isteri menziarahi beliau di bilik hotelnya.

Prof Che Husna, UKM dan suami Prof W.Mokhtar juga datang menziarahi Dr.Zaghloul di Hotel. Agaknya mereka ingin mengenali siapakah Dr. Zaghloul yang sangat saya kasihi ini. Kesukan harinya saya ziarahi lagi Dr.Zaghloul, saya datang bersama abang saya serta Ustaz Dr.Luqman UM dan Ustaz Dr. Abdul Rahman Mahmud. Kami bawa Dr.Zaghloul ke majlis Hari raya PUM di Shah Alam.

Friday, July 30, 2010

Chmapa Cerita Yang Panjang II

Saya telah menziarahi Kemboja untuk kali kedua pada minggu lepas. Lawatan kedua dengan perspektif yang kedua, berbeza daripada yang pertama.

Saya ditunggu oleh seorang pegawai atasan kerajaan di sana yang belum pernah saya temui kecuali gambarnya yang di e-mail kepada saya, dia menunggu saya sebelum imigresen check point lagi, dan saya dibawanya melalui pemeriksaan imigresen tanpa sebarang masa menunggu. Pelik ! Seakan-akan VIP lah agaknya saya , atau prominent businessman. Sedangkan saya ke sana dalam keadaan serba kekurangan

Awalnya saya berniat untuk menumpang di rumah rakan lama saya. Dr. Nasir Hassan , tetapi beliau telah berangcangan untuk balik ke KL dengan flight yang saya, maka kami sempat bertemu tangan berlapiskan cermin pemisah di antara arrival passage way dan departure room.

Pegawai itu membawa saya ke hotel Holiday Villa, hotel yang dipunyai oleh usahawan Malaysia. Bayarannya USD40/malam sekali dengan sarapan pagi.

Keesukan paginya saya menemui rakan baru saya ini di lobby jam 7 pagi, kemudiannya kami menyertai 2 orang usahawan tempatan untuk ke ladang pokok karas. Aduhai mewahnya kereta kawan baru saya dan begitu juga kereta 2 usahawan. Seakan-akan itulah taraf hidup pegawai tinggi dan usahawan di sini, terlalu berbeza dengan kehidupan rakyat biasa yang sya telusuri dalam lawatan saya yang pertama dulunya. Kami melalui jalan yang agak sesak, melalui mahkamah tentera yang pagi itu membicarakan bekas pengarah penjara di zaman Pol Pot. (tengahari itu saya mendapat makluman yang dia dijatuhkan penjara 31 tahun). Kemudian menuju ke Sihanoukville. Jalanraya semakin sempit dan terdapat dua kali kutipan tol.

Saya ke sana kerana diminta seorang rakan supaya saya menilai keupayaan perlaburan dalam industri gaharu. Kami telah pergi ke suatu ladang seluas 40 hektar tertanam dengan pokok karas dari species Aquialaria Crassna. Ketika kami di sana , tuanpunya ladang telah didatangi oleh sekumpulan orang tengah yang berminat untuk menjadi broker pokok tersebut.

Kami singgah sebentar dalam perjalanan balik ke Phom Penh di sebuah ladang yang lain milik tuan yang sama seluas 50 hektar. Nampak sangat lah yang golongan kaya di Cambodia memang kaya.

Setiba di Phom Penh di sebelah petangnya saya dibawa sekeliling bandar Phom Penh dan singgah makan di kedai kepunyaan seorang dari Kedah yang berkahwin dengan perempuan tempatan dan tinggal kekal di sana. Rakan baru saya mengajak saya keluar pada sebelah malam, saya meminta uzur dengan alasan yang saya perlu membaca sesuatu pada malam itu sempena malam besar, nisfu as-Syaaban.

Pagi keesukannya saya telah melawat ke pasar besarnya, bangunan yang reka-bentuknya agak ganjil dan terserlah. Saya sekadar membeli beberapa helai kain dan 2 biji permata sapphire hitam yang kecil (sekadar 5.5 karat). Kawan baru saya sangat beriya-iya mengajak saya ke rumah beliau yang berhampiran dengan stadium olimpik. Memandangkan saya berdepan dengan,masaalah perut yang meragam, beliau telah menghubungi seorang doktor, rupanya seorang doktor tentera yang berpangkat Colonel, dan merupakan doktor peribadi Hun Seng.

Dalam perjalanan ke airport, rakan saya telah menjemput sahabatnya untuk menyertai kami, dia adalah seorang berketurunan cina, hartawan dan aktiviti utamanya 'money lending' dengan kadar faedah 2% sebulan. Orangnya sudah berumur dan sangat sopan dan bertertib, Jauh dari wajah 'along' yang saya bayangkan sebelum ini.

Dalam pemusafiran ini, saya sempat bertemu dengan 2 orang Melayu Cham, seorangnya adalah lepasan Maahad Tahfiz di Markaz Tabligh Yala kemudian memondok di Pondok Khali Mat Kedi, Pattani. Dia datang ke Malaysia dalam rangka mencari bantuan kewangan.Beliau duduk di sebelah tempat duduk saya dalam penerbangan ke phom Penh. Seorang lagi , Marzuki, dia adalah seorang guru dan peniaga batu permata dan tahu tentang perusahaan gaharu di Kemboja. Banyak maklumat tentang dua perkara ini sempat saya cungkil daripada beliau. Saya bertemu beliau di airport sebelum berlepas balik.

Cambodia adalah cerita panjang yang penuh kenangan bagi rumpun bangsa kita, insyaallah semoga saya sempat lagi menziarahi tanah yang penuh coretan itu

Wednesday, June 23, 2010

Champa Cerita Yang Panjang I

Saya diberitahu oleh gemulah ayah yang kita dari sebelah Mak Haji (panggilan kami begi nenek sebelah ayah, yang nama tubuhnya Hajjah Halimah Binti Dolah) dan sebelah Cik Wa (panggilan kami untuk datuk sebelah ayah) ini keturunan Cina Murun dari satu pihak, sementara disebelah Tok Nyang Tok Maya pula berketurunan keling kabul. Mak juga dari sebelah Tok Ayah Yeh (Datuk sebelah mak, namanya Hj Idris Hj Abdul Rahman) juga berketurunan Cina Murun. Katanya Gemulah Tok Imam Fauzi (Imam Mukim Padang Enggang) telah membuat family-tree untuk keturunan Cuina Murun ini.

Cina Murun ini datang dengan kapal, berpakaian serba hitam dan sememangnya sudah beragama Islam. Sehingga kini saya sendiri tidak tahu siapakah sebenarnya yang dikatakan Cina Murun ini. Sayapernah pada suatu masa dahulu agak-agak yang mereka adalah orang dari kawasan Kemboja. Mak dan ayah juga berpesan yang keturunan kita tak boleh makan ikan kekacang, katanya ikan kekecang ini pernah menyelamat tok moyang kita ketika kapal karam di tengah lautan. Saya telah bertanya penjual ikan di Wakaf Che Yeh untuk mengenal ikan kekacang, ianya jenis ikan yang badannya agak bulat dan agak panjang, dagingnya tidak begitu sedap. Dia memberitahu yang ikan ini banyak digunakan untuk membuat fish-ball berserta ikan haruan tasik (haruan ini namanya sahaja haruan, ianya ikan laut).

Ketika saya menghadapi peperiksaan LCE (sama dengan PMR sekarang) di sekolah, saya ada lompat pagar sekolah di sebelah malam merayau-rayau di sekitar sekolah, dan ada pada suatu malam itu sempat berbual panjang dengan asykar (mungkin polis hutan?) yang bertugas menjaga kem pelarian muslim kemboja yang terletak di belakang sekolah kami. Ketika itu Perkim begitu berjasa dalam menyelenggarakan kemasukan dan mengasimilasikan pelarian dari Kemboja ini dalam masyarakat kita.Ini adalah antara jasa Tungku Abdul Rahman.

Setahun dua kemudian, masyarakat Kelantan kecoh yang tangki-tangki air di beberapa tempat di Kelantan telah dicemari dengan bahan tertentu yang dikatakan telah dilakukan oleh orang Kemboja. akibatnya 'sianu' lelaki yang meminum air itu telah kerelo' (mengecil dan masuk ke dalam). Timbul kecurigaan terhadap orang Kemboja yang menjaja hendoi gantung yang masuk keluar kampong. Alhamdulillah fitnah jahat ini tidak berpanjangan.

Masyarakat Kemboja di Kelantan adalah masyarakat yang gigih berusaha dan berniaga , sehingga kini kita akan dapati bilangan yang significant daripada peniaga pasar malam dan pasar tani di Wakaf Che Yeh adalah orang Kemboja. Mereka masih bertutur antara satu sama lain dalam bahasa mereka. Mereka banyak tertumpu duduk di Penambang, di sekitar Kampong Bunga Mas. Saya pernah ke sana untuk menghadiri majlis akad nikah seorang saudara baru berketurunan Cina dari K.L yang berkahwin dengan seorang gadis kemboja. Saya diajak oleh saudara Dr. Muhammad Fuad Yeoh. Bapa pengantin perempuan itu menternak ikan talapia merah di dalam sangkar di Sungai Kelantan. Saya bertanya kenapa mereka buat rumah di situ, memandangkan kawasan itu adalah kawasan banjir. Dia menjawab kerana tanahnya agak murah dan orang Melayu tidak begitu suka tinggakl di kawasan itu, sedangkan katanya banjir itu paling lama pun seminggu, kemudain keringlah ia.

Pada tahun lepas, saya bersama isteri, Kak Yah (kakak saya) , Idah, Cik Esah (kakak ipar), Alya dan Siti Hajar telah melawat Kemboja. Kami memang hendak melihat negeri yang masyhur dengan Angkor Wat ini, dan juga mahu 'mengacau' rakan lama saya Dr. Nasir Hassan yang memang bertugas dengan WHO dan berpejabat di Phom Penh. Kami memang berjaya mengacau Dr. Nasir, itupun kerana dia seorang yang baik hati.

Saya tidak pernah terbayang sebelum ini yang ada negara yang mana harga barang dan sara hidup yang mahal sedangkan pendapatan rakyatnya yang sangat rendah. Saya tidak pernah terbayang di negara yang rakyatnya berjuang untuk memenuhi keperluan hidup akan terdapat begitu banyak kereta Lexus di dalam bandarnya. Saya tidak pernah terbayang bagaimana political vision seorang anak watan yang terlatih dalam seni persembahan yang mengelarkan dirinya Pol Pot (political potential) mempunyai keupayaan untuk menghancurkan negara dan bangsanya sendiri dengan begitu dahsyat. Kemboja adalah negara yang ada sudut-sudutnya yang di luar kemampuan khayal saya untuk membayangkan apa yang berlaku.

Saya terasa amat sesak dada ketika melawat the killing field dan sekolah yang digunakan untuk menyeksa rakyat sendiri. Sezalim-zalim Fir'aun pun dia zalim dan ganas kepada Bani Israel, kaum pendatang dan dia juga berjaya memakmurkan negerinya sehingga terbina monumen yang hingga kini kita kagumi itu.

Kami berada di Phom Penh untuk 3 hari , kami telah menaiki bas mini untuk ke Siam Reap. Di tengah perjalanan, Cik Esah tak tertahan hendak kencing. Saya memberitahu driver secara lisan dan isyarat. Selepas beberapa lama dia menghentikan basnya di tengah kawasan bendang, dan menunjukkan jari ke kawasan belukar dengan mengatakan 'toilet'. Apabila dia faham yang ingin kencing itu adalah seorang perempuan, dia ketawa kecil dan akhirnya berhenti di sebuah station minyak. Mengikut Dr. Nasir hampir 70% rumah di kemboja tanpa kemudahan tandas, dan kawasan di luar 7km daripada bandar tidak mempunyai bekalan elektrik.

Kami disambut di Siam Reap oleh Tourist guide yang bernama Yusuf. Yusuf ini pernah menghafal Quran di Sg. Golok, kemudian belajar di Pondok Pasir Tumbuh dan kemudiannya berkerja di kilang di Shah Alam. Dia adalah seorang pemuda yang kacak dan beradab-sopan. Shukri yang menjadi pemandu mini bus kami juga pernah belajar di Ulu Tiram Johor selama 8 tahun. Kedua-dua mereka ini banyak sangat banyak menolong dan melayan kerenah kami dengan baik sekali.

Saya suka dengan suasana di Siam Reap, bandarnya yang terdapat quater Peranchis yang nyaman dan tersusun. P'sar (ejaan pasar di sana) yang banyak serta dengan belbagai pilihan dari batu permata, seluar bundle, kain dan lain-lain kraf-tangan. Semua jual-beli menggunakan dollar Amerika. Ganjil sungguh, negeri yang mujur-mujur survive sahaja ekonominya tetapi main currency-nya adalah dollar!

Di Tonle Sap saya terpegun kepada kehidupan masyarakat airnya, bagaimana kah agaknya kualiti air di situ di usim kemarau yang panjang?. Tonle Sap membekalkan air minuman, lain-lain kegunaan rumah dan juga sebagai tandas, ianya juga merupakan medan mencari punca menyara hidup. Pernah disiarkan di dalam akhbar the Star yang ikan-ikan air tawar terbesar di dunia ditemui di sini, sebelum itu ramai yang beranggapan yang ikan air tawar terbesar terdapat di sungai Amazon , Amerika Selatan.Terdapat 20 keluarga muslim di dalam kampong terapung di sini.

Kami dibawa melihat perusahaan sutera di sini. Apa yang menarik bagi saya ialah penggunaan warna-warna pencelup kain dari bahan tempatan, terutama dari bahagian tumbuh-tumbuhan.

Pada hari isteri saya dan geng perempuannya ke Angkor Wat, ianya jatuh pada hari Jumaat, saya tidak berminat sangat untuk melawat Angkor Wat. tetapi saya tidak mahu ketinggalan maklumat, untuk itu saya sudah membeli buku khusus tentang Komplek Angkor Wat. Saya minta Yusuf hantarkan saya ke Masjid. Di sana saya diperkenalkan kepada Imam Musa, seorang Imam yang tajam pengamatannya dan seorang yang berkebolehan dalam mentadbir. Imam Musa mengajak saya untuk ke sempadan Thailand, dekat pekan Poipet untuk menziarahi pondok Darul Ulum. Kami singgah sebentar di Masjid perkampongan orang Islam untuk diagih-agihkan kain mengkana sembahyang untuk masyarakat di situ. Mengikut Imam Musa ia adalah sumbangan dari orang Malaysia.

Imam Musa bercakap dengan nada menyanjung menyebut-nyebut Dr. Harun Din yang banyak menyumbang jasa kepada masyarakat Islam di Kemboja, termasuk usaha membina masjid-masjid untuk masyarakat Islam di sini. Kami sampai ke Darul Ulum sebelum jumaat, sempat mendengar khutbah dlam bahasa Cham. Kami dijamu dengan makanan yang dibawa dalam dulang oleh keluarga-keluarga yang tinggal di kawasan pondok ini. Mereka begitu ramah dan mesra walaupun dalam segala kedaifan dan kesusahan. Mengikut Dr. Nasir, purata seorang rakyat Kemboja memakan 200 gram daging dalam masa setahun. Orang Islam menikmati daging hanya dari pembahagian daging korban. Sehari suntuk bersama Imam Musa membawa begitu sarat makna kepada saya.

Kami juga dibawa ke Cultural Village, melihat seni bina yang hampir sama dengan seni bina tradisioanal kita dan melihat persembahan budaya dan adat-istiadat mereka yang tidak jauh daripada amalan masyarakat kita. Umpamanya sireh susun di atas anak kasa , adat merenjis dan lain-lainnya. Rupanya budaya kita sangat hampir kepada mereka ini

Cuti sekolah baru-baru ini kakak sulung saya, budak mek, dan abang nul serta isterinya telah menziarahi Siam Reap. Saya belum bertanya khabar apa pengalaman mereka di sana. Semoga keakraban masyarakat Melayu Kelantan dan masyarakat cham Islam di kemboja akan kembali bertaut mesra sebagaimana dukunya. Jarak perjalanan dan kaeadah pengangkutan di zaman dahulu tidak menghalang mereka untuk berpergi-mari.

Insyaallah , saya akan menulis tentang apa yang saya temui tercatit dalam kitab Syaikh Ahmad al-Fatani yang berkaitan dengan masyarakat Cham

Thursday, April 15, 2010

Ayahku :Hassan bin Ahmad

Ayah lahir pada tahun bah merah. yakni 1926. Dia dilahirkan di Muar Johor. Ketika itu keadaan kehidupan agak sukar di Kelntan, maka sebahagian daripada penduduknya berhijrah ke Perak, umpamanya adik beradik Haji Idris( ayahnya ibu saya), ada yang berhijrah ke sebelah Selatan thai, untuk membuka kebun getah dan ada yang berhijrah ke Muar. Antara tokoh-tokoh yang berhijrah ke Muar ialah Hj Ahmad, ayah kepada Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong dan juga Tuan Guru Hj Idris Kota.



Ahmad telah bercerai daripada isterinya Halimah sebelum Hassan dilahirkan. Hassan bukanlah nama pertama ayah, tetapi dia bertukar nama beberapa kali kerana sentiasa sakit yang dikatakan kerana tidak sekun (tidak sesuai) dengan nama . Kemudian dia dibawa balik ke Kelantan. Ibunya, Halimah menjaganya dengan sepenuh perhatian, hinggakan unutk bermain wau pun dia terpaksa bermain di halaman rumah sahaja.



Ayah kemudiannnya telah bersekolah di Sekolah Kota, dia adalah seorang pelajar yang mampu dan dilantik menjadi ketua pelajar. Sekolah Kota hanya menyediakan pendidikan sehingga darjah 4, unutk ke darjah 5 dia terpaksa menyambung ke Sekolah Langgar. Halimah tidak membenarkan Hassan menyambung belajar di Lanngar, agaknya memandangkan Langgar agal jauh tambahannya Ahmad, bekas suaminya pula tinggal di Telipot yang tidak jauh dari Langgar. Kelayakan untuk menjadi guru pada zaman itu hanyalah pengajian sehingga darjah 5. Antara rakan sekelas ayah ialah Cikgu Muhammad Cik Gu Besar yang tinggal berhampiran round-about Kota.



Ayahpun berkerja dari satu pekerjaan kepada satu pekerjaan. Ketika Perang Jepun Ayah bekerja membuat rumah batu, dan dawai telah tercucuk ke dalam sebelah matanya, yang menyebabkan dia hilang sebelah daripada penglihatan sepanjang hayat selepas itu. Ayah juga berkahwin pada umur yang sangat muda. Rasanya isteri awalnya adalah orang dekat Gertak No.1 , dekat Bunut Payong. Ayah kemudiannya kahwin dengan isterinya yang asal dari Perupok Bachok, dari isteri ini ayah memperolehi 6 orang anak. 5 daripada anak ayah dari perkahwinan ini mati ketika masih kecil. Seorang mati sebelum mecapai umur 20 tahun, yang kami kenali sebagai kak Nik Esaah(saya tidak sempat kenal Kakak yang ini). Ada orang yang menasihati ayah untuk mengelak kematian anak ketika masih bayi, dia hendaklah bersanding sekali lagi di cabang tiga.



Isteri ayah ini juga akhirnya meninggal, ayah kahwin dengan orang Pasir Hor. Dari perkahwinan ini ayah memperolhi anak seorang, Abang Mat Noh. Perkahwinan ini tidak bertahan lama, ayah bercerai dan kemudiannya berkahwin dngen emak, Kalthom, dari Kg Kota. Emak pun sebenarnya juga pernah berkahwin, tetapi dia tidak pernah bercerita tentang hal ini.

Dari perkahwinan ini lahirlah kami 4 beradik . Ayah seingat saya telah berkerja sebagai buruh di Pejabat Pertanian Lundang. Ayah mahir mengkahwini pokok-pokok kayu, pisau kahwin sentiasa berada di dalam poketnya. Lain-lain skop kerja ayah, say tidak tahu. Tetapi kerap juga ayah balik lambat, kerana ketua-ketua (terutama Wan Mahmud) minta tolong buat kerja di rumahnya selepas waktu pejabat.

Untuk menambah pendapatan, emak menoreh getah di tanah Cik Gu Mat yang tidak jauh dari rumah dan juga di Kg Jelutong. Mak dan ayah juga mengoreng biji kopi , saya masih ingat biji kopi yang goreng dalam 'anak curang' (kawah kecil) bersama manisan kerek (gula melaka), garam, gula. Digoreng sehingga lekat, disejukkan kemudian ditumbuk dan ditapis. Kemudiannya selepas ayah membawa balik mesin untuk mengisar kepingan goreng kopi itu. Selain itu mak dan ayah juga membuat padi di tanah 4 keping dekat rumah Cik Gu Johan dan Tanah Dalam Paya. Mereka adalah dari generasi yang kuat bekerja secara fizikal, ya ayah hanya berbasikal untuk berulang alik ke tempat kerjanya di Lundang, kadang-kadang mengatih basikal beserta saya yang membonceng unutk menziarahi saudara-saudara di Bunut Susu.

Ayah juga berbasikal ke Penambang setiap pagi jumaat untuk mendengar Dato Mufti Hj Nur mengajar kitab. Ayah kenal Dato Mufti secara peribadi. Dia mengatakan dia tolong kahwinkan anak-anak durian dan lainnya untuk kebun Dato Mufti di Kg Huda, Pasir Hor. Dia juga mengatakan yang dia belajar silat selendang tapee yang disertai oleh Dato Mufti. Keluraga kami juga agak rapat dengan Tok Guru Hj Idris Kota, memandangkan emak asal dari Kota, dan Mak Haji (nenek sebelah ayah) kenal dengan Hj Idris ketika mereka membuka tanah di Muar. Dato Guru Hj Idris datang ke rumah, untuk usaha tolak bala apabila sepasang ular senduk masuk ke dalam rumah berhampiran telaga. Sementara tapak rumah pula ditanda oleh Hj Cik Long, Kubang Kacang. Ketika tahklil arwah Mak Haji, yang menjadi syaikh tahlilnya ialah Pak Su Hj Ya, Guntung.

Biasanya kami sekeluarga bersembahyang terawih di balaisah Pak Da Awang, Kg Baru. Biasanya ianya diimami oleh Pak Da Awang atau Ustaz Mat. Kemudian mak dan ayah bersembahyang di balaisah A.Rahman di Cabang Tiga Wakaf Che Yeh. Di sini antara guru yang mereka lazimi ialah Ustaz Ismail Mu'alimah dari Lorong Tok Semian, Kubang Pasu. Ayah dan emak sentiasa melazimi Balaisah ini, kemudiannya di up-gradekan dengan bangunan baru sebagai masjid di kawasan yang berhampiran.

Seingat saya ayah adalah seorang orang kampong biasa yang bukan banyak ilmunya , begitupun dia hafal surah Yasin , asma al-Husna, beberapa doa yang tertentu dan sentiasa bangun bertahajjud, begitu jugalah dengan emak. Mereka juga sentiasa menjaga sembahyang berjamaah. Hanya emak sangat gigih belajar mengaji al-Quran. Awal yang saya ingat emak belajar mengaji dengan Mak Su Haji dari Batu 4, kemudian dengan Hj Ali, kemudian dengan Mak Jah dekat rumah, kemudian dengan Kak Mah Cik gu Johan dan Mak Ngah Haji Kubur Tok Panjang.

Ayah belajar bawa motorsikal hanyalah ketika Abang Nul tinggalkan motorsikal di rumah kerana sambung belajar buat MSc di Amerika, waktu itu ayah sudah pencen. Sayalah yang mengajar ayah, saya belajar dari Abang Mat Nuh. Kemudian ayah bawa motor menggunakan lesen L sehingga akhirnya.

Hari-hati tua ayah banyak dihabiskan dalam dia menikmati manjaga 2 orang cucu, anak kak Yah, Muaz dan Ibah. Dia pandai pakai lampin dan menjalani lain-lain kerja yang berkaitan penjagaan anak kecil. Dia akan balik awal selepas subuh dari masjid untuk "hendak jaga cucu kerana emak-nya bekerja".

Dalam pada itu ayah mula merasa tangan kirinya kebas-kebas, bahkan ketika dia bersembahyang pun kadang-kadang tangannya terkulai jatuh. Sebelum itu yang seingat saya, ayah telah sakit perut yang sangat ketika bermalam di rumah Budak Mek (kakak sulung) di Kuala Terangganu, rupa-rupanya saluran apendik ayah pecah dan ayah dibedah di Hospital Kuala Terangganu. Ayah puleh semula sepenuhnya. Tetapi kebas tangannya yang sebelah itu berpanjangan, yang sebenarnya adalah penzahiran daripada masaalah jantung yang dihadapinya.

Ayah diserang stroke, dia menderita hampir dua tahun, Dia kehilangan daya bertutur dengan separuh anggotanya lumpuh sepenuhnya. Daya pemikiran ayah juga teruk terjejas. Dia mengahdapi penyakit ini sehingga ayah bertyemu ajalnya. Ayah tidak mendapat rawatan di hospital, hal ini mungkin disebabkan beberapa orang tua yang berpengalaman yang datang menziarahi ayah yang sakit, telah berpesan supaya dipanggil segala waris kerana masa ayah sudah tiada. Rupa-rupanya yang berkata sedemikian itu telah meninggal sebelum ayah meninggal. Beberapa bomoh dan tukang urat dipanggil dari dekat dan jauh, bermacam-macam telahan dan kaedah yang mereka gunakan tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

Ayah meninggal dengan potret sebagai seorang yang sangat taat kepada emaknya, seorang yang cita kepada pendidikan tetapi terhalang, maka diterapkan cita-citanya itu ke atas anak-anak, seorang penghuni kampong yang menghayati ajaran agama dalam keupayaannya, seorang yang tajam pemikirannya, seorang ayah yang tegas, seorang Tok Ayah yang penyayang dan'caring', seorang yang terhimpit dengan belbagai ujian dalam kehidupan, seorang yang mempunyai kegemaran menjala ikan sehingga membuat jalanya sendiri, seorang yang ingin mencuba seperti mengkahwinkan tomato dengan kecubung, membuat mee dan lainya. Ayah adalah seorang 'orang besar' dalam takrifannya yang sendiri, semoga Allah mengampuni kesalahan ayah, menganjari kebaikannya dan menilik ayah dengan tilikan rahmat-Nya. Amin