Monday, March 28, 2011

Gemulah Mak Saya

Hari ini genaplah seminggu mak meninggal dunia. Mak telah menghayati hidupnya sebagai seorang Muslim Melayu dalam 'konteks tradisional'. Walaupun ketika mak telah lumpuh bahagian kakinya selepas serangan penyakit kecing manis, mak masih mengekalkan amalan sejak mudanya dengan melazimi surah Yasin, Tabarakallazi, Sejadah setiap hari. Mak terpaku di katilnya untuk hampir 3 tahun lebih, bagaimanapun pemikiran dan ingatannya tidak banyak terjejas sehinggalah ke akhir hayatnya.

Beberapa bulan yang lepas, saya menanya mak semada mak masih ingat Asma al-Husna, mak menjawab yang mak dah lama tak baca, tetapi Alhamdulillah ketika itu mak membaca semula dan nyata ingatannya masih kuat. Di bahagian kepala mak tidur, sentiasa ada Mushaf al-Quran dan ada 2 utas tasbih. Mak masih juga membaca al-Quran terutama antara maghrib dan isya', waklaupun ketika itu terpaku di katilnya.

Walaupun saya menyarankan agar mak menjama'kan sembahyangnya, kerana agak rumit untuk mengambil wudu untuk setiap waktu; apa lagi ketika berwudu mak memastikan yang mak melaksanakannya seumpama ketika mak masih segar sihat. Semua sunnat mahu dikerjakan, bahkan mak juga menyapu air atas tengkuk sebelum membasuh kaki (amalan ini disebut di mazhab Hanafi, tidak dalam mazhab Syafie ).

Beberapa tahun terkemudian ini mak kurang puasa sunnat, agaknya tubuhnya sudah lemah kesan dari penyakit kencing manisnya. Tetapi mak masih bertanya "habis dah puasa 6?", "berapa hari dah puasa ?" ketika hari-hari 10 awal Dzu al-Hijjah.

Mak adalah seorang yang buta-huruf kecuali huruf Quran, dan sememangnya mak hanya belajar membaca al-Quran, mak tidak pernah belajar membaca tulisan rumi atau jawi. Seingat saya mak sentiasa mempelajari al-Quran dari zaman seawal yang saya dapat ingat, dengan Mak Su Haji Batu 4 yang datang ke rumah selepas Asar, dengan Gemulah Haji Ali, dengan Gemulah Ustaz Ismail Mu'allimah Kubang Pasu, dengan Gemulah Mak Jah Haji, dengan Gemulah Kak Mah Cik Gu Johan, terkemudian dengan Gemulah Mak Ngah Haji Kota. Mak belajar mengaji al-Quran sehinggalah dia terpaku di katilnya kerana sakitnya.

Ketika dia terpaku pada katilnya, mak banyak mendengar radio, "orang mengajar dalam radio" dalam istilah mak dan melihat rancangan keagamaan dalam tv. Hanya saya tidak tahu sejauh mana yang mak dapat faham.

Mak juga banyak menghadiri tempat orang mengajar, terutama di balaisah A.Rahman Wakaf Che Yeh kemudian di Masjid at-Tarbiyyah, mak juga menghadiri tempat mengajar Haji Wan Jah, Ustazah Wan Faezah, Dr. Fatma dan lainnya. Mak suka keramaian di dalam majlis orang mengajar, mak juga suka keramaian berbekwoh. Pernah dalam tahun awal 70'an, jiran kami, Cik Gu Mat Amin menumpangkan mak dengan keretanya untuk pergi mendengar Haji Nik Leh di setiap pagi Jummat. Tetapi mak tidak langsung terpengaruh dengan aliran kaum muda, mungkin mak tidak fahampun perbezaan dan kejanggalan yang terdapat dalam pengajian Haji Nik Leh tersebut. Mak sekadar suka majlis pengajian!

Mak pernah bercerita yang dia hanya ke sekolah zaman budaknya untuk 2, 3 hari sahaja. Zaman kecilnya mak berkawan rapat dengan sepupunya Gemulah Fatimah isterinya Mat Isa. Ketika mula-mula serangan Jepun, mak banyak duduk bersembunyi di rumah Haji Saad, ayah saudaranya , iaitu bapanya Fatimah. Dia memberi komen "zaman tu, bodoh lagi , ada ke pergi nusuk (bersembunyi) di rumah orang kaya, (yang mungkin tumpuan orang merompak)". Dalam kad pengenalan ditulis mak dilahirkan pada tahun 1934, jadi agaknya memang tidak jauhlah dari benarnya, apabila dibandingkan dengan cerita mak itu.

Mak kuat bekerja untuk menyara hidup sekeluarga di zaman mudanya, dia menoreh getah di Kampong Jelutung dan di dalam Pagar Cik Mat di kampong kami, mak dan ayah juga membuat (menanam) padi di tanah dekat rumah CikGu Johan dan tanah Dalam Paya,. Mak juga mengoreng kopi untuk dijual, hanya kemudiannya berhenti kerana harga butir kopi melambung naik sedangkan mak tak tergamak hendak naikkan harga serbuk kopi. Mak juga suka sangat jadi 'ibu kutu' kepada rakan-rakannya yang bermain kutu. Kadang-kadang mak tidak ingat di mana disimpan duit kutipan kutu sehingga dia jadi gelisah.

Bapa mak, Haji Idris memang asal orang Kota, ayahnya Haji Abdul Rahman, seorang guru al-Quran berpindah dari Surau Kota ke kawasan sekarang ini berhampiran dengan round-about Kota. Oleh itu adik-beradik Tok Ayah Yeh , Pak Ngah Saad , Tok Da Geretak tinggal di kawasan yang sama. Ibu Mak, Meriam, asalnya dari Gaung, ayahnya Mak Da (gelaran yang kami panggil) ialah Paksu Mamat. Paksu Mamat adalah seorang bomoh patah, bomoh secara keturunan. Yang terakhir dalam keluarga Mak Da yang mewarisi baka bomoh ini ialah Gemulah Maksu Limah Gaung, dia sepatutnya jadi bidan tetapi dia seorang pengemban (mudah merasa jijik), sehingga dia sakit untuk berapa lama; kesudahannya ayahnya, Paksu Mamat datang dalam mimpi dan memberitahu Maksu Limah " dah mu tak leh jadi tok bidan, mu tolonglah orang dengan mengurut". Itulah yang menjadikan Maksu Limah sebagai tukang urut. Saya sempat berurut dengan Maksu Limah beberapa kali. Ganjilnya sebagai ayahnya, Paksu Mamat, Maksu Limah juga dengan sendirinya tertutup lior untuk memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam, Maksu Limah tak makan tepung nonde (ondeh-ondeh) yang dibeli kerana bimbang tepung beras itu hasil tangan orang Siam, dia tak makan biskut yang di dalam tin. Katanya ayahnya, Paksu Mamat sampaikan minum kopi yang dicampur manisan (gula melaka) kerana tidak boleh makan gula yang dibeli di kedai.

Keluarga kami agak rapat dengan waris di Gaung terutama dengan Gemulah Maksu Som dan Pakmuda Tolib.

Mak dan ayah sempat menunaikan ibadat haji pada tahun 1980, ketika itu saya juga menunaikan haji pertama saya. Kemudian 3 tahun yang lalu, mak menyerahkan wang sebanyak RM4'000 kepada saya supaya saya dapat menunaikan umrah untuknya, ketika itu beliau sudah tidak begitu sihat. Saya katakan kepadanya yang saya akan tunaikan haji bagi pihaknya, Alhamdulillah saya dengan rahmat Allah diberi kesempatan menunaikan haji pada tahun itu bersama Sdr Yusri , Sdr Shabrimim dan Dr Adli berserta isteri.

Mak sempat melihat Sarah, cucunya, anak kakak sulung saya berkahwin pada cuti raya Cina dalam bulan Februari yang lepas. Dia menunjukkan rasa seakan dia terpinggir di katilnya dari keriuhan persiapan majlis walimah kerana terpaku di katil sehinggalah dia dibawa ke rumah Dok Mek (panggilan kepada kakak sulung), untuk memerhati keriuhan itu dari kerusi rodanya. Ketika rombongan menghantar menantu ke Batu 30, mak mahu menyertai berarak itu. Dia muntah-muntah dalam kereta, dan sampai di rumah besan,mak tidak mahu turun dari kereta kerana kepenatan. Tetapi mak puas hati, nampak sangat yang dia kasih kepada menantu Dok Mek ini.

Selesai majlis menghantar menantu, bibik Indonesia yang menjaga mak mengadu yang dia tidak sihat dan seakan keluar darah bersama kahak. Doktor yang merawatnya menasihati kami agar dihantar bibik ini kepada agensi pekerja untuk mendapat bibik ganti. Sementara itu Sarah, pengantin baru, yang menunggu kursus induksi sebelum bertugas, menjaga mak . Pada 13hb. lepas. Dok Mek telah menelefon saya mengatakan Sarah menghubunginya yang mak bercakap dengan sebutan yang tidak dapat difahami. Ketika itu saya berada di Perpustakaan MAIK bertemu Ustaz Muhammad Mahmud. Saya menghubungi isteri yang berada di rumah, kami ke rumah mak.

Sesampai kami, mak sudah mampu bertutur semula, tetapi mak nampak letih. Saya meminta mak mengangkat tangan kanannya, dia hanya mampu mengangkatnya di bawah paras bahu. Sarah memberitahu yang nasi di makan mak pada pagi itu banyak yang tumpah. Saya diarah oleh Dok Mek supaya hantar mak ke hospital, saya dan isteri beritahu mak, mak menolak dan minta dinanti-nantikan dahulu. Saya memberitahunya kita ke Hospital Perdana, sekadar untuk 'checking', bukan untuk masuk wad. Mak walaupun liat bersetuju. Kak Yah balik dari HUSM dan isteri saya menghubungi ambulan Hospital Perdana. Selepas zuhur mak dihantar ke Hospital, doktor yang merawat mak mengatakan dia mengesyaki masalah jantung, tubuh mak yang sembab dan lelah mak ketika bernafas itu juga disebabkan masaalah jantung. Untuk bertemu dengan doktor bahagian jantung itu, mak dinasihatkan tidur dihospital untuk satu malam. Mak agak keberatan tetapi akhir bersetuju selepas dipujuk.

Esoknya doktor yang merawat mak menunjukkan 'ujian echo' yang injab mak tidak dapat berfungsi dengan baik, terdapat darah yang back-flow. Masyaallah semua itu jelas kelihatan pada 'image scan' yang ditunjukkan , doktor juga menunjukkan kesan-kesan pada jantung yang mengisyaratkan yang mak pernah kena serangan jantung sebelum ini. Sesuatu yang kami semua tidak sedari. Doktor menasihati mak agar tidur semalam lagi di hospital, suatu yang berat untuk dipersetujui oleh mak. Abang Nung balik menziarah mak , dia memberitahu mak yang dia akan balik semula pada 2hb 4, mak menjawab dengan sebutan yang tidak jelas 'lama sangat lagi tu'

Mak ke hospital semula pada 20hb, doktor yang merawatnya mengatakan keadaan mak semakin merosot berbanding seminggu sebelumnya. Dia mengatakan mungkin mak mengalami stroke yang kedua. Badan mak juga agak kering,

Dari hospital, ambulan menghantar mak ke MRSM Tumpat, ke rumah Dok Mek. Mak agak 'selesa' kerana terdapat Nah, orang tempatan yang menjaga mak dari 8 pagi hingga 5 petang. Hari selasa, mak nampak semakin letih, Kak Yah masukkan air ke badan mak, tetapi nampaknya tidak banyak menolong.

Hari rabu itu saya dan isteri pada 10 pagi keluar dari rumah Dok Mek kerana isteri saya menemani Maryam untuk mendapatkan keputusan SPMnya. Saya pula mahu membeli broad-band kerana yang lama hilang. Kami kembali waktu zuhur. Badan mak mulai semakin sejuk di sebelah kirinya, sejuk dan seakan berpeluh. Saya menelefon Dok Mek dan Abang Nung memaklumkan perkara itu, kemudian dada sebelah kanan pula menjadi sejuk. Kak Yah sampai kira-kira jam 2 lebih. Kak Yah menghubungi adik-beradik mak. Dok Mek berada di Kuantan kerana mesyuarat, sementara anaknya, Balqis mengambil keputusan SPM di MRSM Jasin.

Rakan-rakan Dok Mek, terutama Cikgu Nik Zainun dan Cikgu Nik Rahimah berulang alik bersama guru-guru perempuan lain datang menjenguk mak dan membaca Yasin . Mak semakin letih, saya meminta Kak Yah masukkan susu melalui tiub kepada mak, dengan harapan semoga mak akan memperolihi sedikit tenaga. Adik beradik mak, Ayah Sim dan Makngah Yam, Da dan Makcik Esah datang. Mak semakin lemah, keluar air mata yang mengalir dari sisi mata mak yang rapat terpejam.

Saya membacakan kalimah 'la illa ha illallah' berkali-kali di telinga mak, Da membaca Surah ar-Ra'du . Agaknya di pertengahan Surah ar-Ra'du yang saya baca, pada jam 6.14 petang mak berbunyi perlahan seakan tergolong lidah. Agaknya bunyi dari mak itu berulang tiga kali (dalam sekitar seminit), dan makpun berhenti bernafas, Kak Yah dalam sebak mengatakan nadi mak sudah tidak berdenyut.

Saya hubungi Dok Mek dan Abang Nung yang masih dalam perjalanan balik. Dok Mek dalam sebak yang kuat mengarahkan jangan diapa-apa mak sehingga dia sampai balik. Segala yang patut diatur, kami yang ada aturkan. Mak mendahului kami dengan tenang.

Malam itu pelajar-pelajar MRSM perempuan dan lelaki bergilir-gilir membaca Surah Yasin , kaki tangan MRSM pula sentiasa menawarkan sebarang pertolongan yang mereka boleh bantu. Keluarga kami merakam terima-kasih yang tidak terhingga kepada kaki-tangan dan pelajar MRSM Tumpat di atas segala perhatian dan bantuan yang begitu bererti yang telah mereka sumbangkan. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan di dunia dan Akhirat.

Esoknya, mak disembahyang di Surau MRSM jam 11 pagi, kakitangan MRSM serta pelajar menghadiri sembahyang mak, kami juga menjemput Ustaz Muslim dari Pondok Neting serta pelajarnya untuk untuk menyembahyangkan mak. Semada hayat dunianya, mak suka anak-anak, makpun waktu perpisahan dari permukaan dunia ini telah disembahyangkan oleh begitu ramai anak-anak.

Jenazah mak dibawa balik ke Kota, itulah yang selalu mak sebutkan yang dia mahu dikebumikan di Kubur Surau Kota. Rakan-rakan dari pondok dan kenalan lain ramai yang datang menyembahyangkan mak selepas sembahyang zuhur. Sembahyangnya diimamkan oleh Baba Abdul Aziz Pungguk.

Ketika jasad mak diletakkan di dalam lahad, puting-beliong (dragon-flies) begitu banyak mengerumuni kawasan sekitar itu. Saya, Pak Cik Mansor (abang ipar) dan Marwan (anak Dok Mek) turun ke dalam lubang untuk menempatkan mak dalam lahadnya. Saya memulakan bacaan tahlil dan kemudian saya bacakan talqin ringkas untuk mak........

Sehingga hari ini, saya tidak begitu merasa kehilangan mak, tetapi saya merasakan mak sekadar berpindah terlebih dahulu daripada kami, mak sekadar pergi lebih awal menanti ketibaan kami.

Semoga Allah menilik mak dengan tilikan Rahmat, semoga kami terus mendapat kebajikan dari amalan mak, semoga kami tidak terfitnah selepas pemergian mak.

Al-fatihah untuk mak......

1 comment:

rosdan said...

AlFatihah buat ibu yang telah pergi. Takziah daripada kami sekeluarga. Cerita ustaz banyak mengingatkan saya saat-saat bersama arwah ibu yang telah pergi kira 3 tahun yg lepas. Moga Allah swt merahmati kita semua...