Friday, November 10, 2006

Tariklah Kami kepada-Mu

Dalam hari-hari yang kita jalani sebelum menemui jambatan yang menghubungkan kita kepada alam selepas kematian, kita terlalu banyak bertanya, kita terlalu banyak kegusaran. Sehingga kita kerap terlupa yang jalanan selepas jambatan itu lebih lama dan lebih bermakna.

Dalam kita memerhati kejadian dan peristiwa manusia, kita menjadi marah kepada kebiadaban dan keganasan, kita jadi letih kerana kesedihan. Sehingga kita acap terlupa tentang kekeruhan dan kekejaman dalaman diri kita sendiri. Siapakah yang mengepalai kerajaan dalaman kita; adakah ianya Sulaiman, Daud, Dzul al-Qarnain atau adakah ianya Namrud, Fir'aun atau dinasihati oleh Hamman dan Qarun?

Dalam kita mempelajari sesuatu ilmu, kita menjadi asyik kepada huraian yang mengalun kedalaman faham dan menyinar ketajaman pemerhatian sang ilmuan. Sehingga kita kerap mengeluh kerana kekaguman tetapi tiada tahu bagaimana untuk mengamalkannya di dalam kehidupan.

Dalam kita bangun sembahyang malam dan menyebut butiran zikir, kita kerap terlalai yang hati kita ditilik oleh Tuhan. Seakan sembahyang malam dan wirid menjadi routine harian tanpa sangat kehadiran jiwa bersama Tuhan. Seakan kita sebutkan sesuatu yang gersang dan dengan hati yang tertutup rapat, setakat d ibibiran . alangkah malang!

Dalam kita impikan terlaksananya Islam dalam masyarakat, kita kerap bayangkan ianya setakat perlaksanaan undang-undang. Seakan Islam itu kita samakan dengan sistem rekaan manusia. Dan dengan naif-nya kita bayangkan selepas ditegakkan undang-undang syara, semua masalah akan diselesaikan, seakan manusia itu hanyalah makhluk luaran yang tiada punya kejadian dalaman.

Dalam kita cuba hidup sebagai seorang Islam, kita didatangi banyak cabaran dan godaan. Kadang-kadang melebihi dari orang kebanyakan. Kadang-kadang datang khawatir yang mengoncang perasaan, terutama memandang kepada kesenangan kehidupan.

Dalam kita mengharapkan agar Tuhan menarik kita dengan Latif-Nya, kita usahakan agar kejilahan hati menjadi tujuan, Dalam kita bercita tertunainya kewajiban menlaksanakan hukum yang diturunkan, Tuhan memberi kita faham dan kelazatan. Dalam kita impikan masyarakat yang dituntun oleh syara', kita doakan agar hati kita tidak ke kiri dan ke kanan kecuali berdepan dengan wajah Tuhan.

Oh Tuhan... Tiada yang selamat kecuali yang Engkau selamatkan, tiada ilmuan yang ilmunya lautan, tiada 'abid yang tiada tahu beza siang-malam, tiada pemimpin yang teratur rancangan, tiada siapa kecuali yang Engkau sejahterakan hati mereka!

Oh Tuhan.. Tiada kami tahu kebenaran kecuali dari Petunjuk Engkau, Tiada kami beramal dengan kebenaran kecuali Engkau berkenan, tiada kami ikhlas kecuali Engkau anugrahkan, tiada kami selamat kecuali Engkau selamatkan...Tiada daya tiada upaya kecuali Daya Dan Upaya Engkau, Tuhan Semesta alam.

No comments: