keindahan malam pada kesunyiannya
kegunaan siang pada cerah benderangnya
keindahan keduanya kerana pergilirannya
bukan bertentang tetapi saling melengkapkan
kehalusan budi pada pekerti
corak pekerti ditentukan hati
selayak ia tempat tiliknya Ilahi
seakan hati adalah sebutir biji
dahan, akar dan semuanya diwakili
walaupun kecil tetapi segala digauli
zahir yang luar sekadar memagari
kehebatan bukit pada diam dan tinggi
kelebihan sungai pada aliran tiada henti
laut pula pada luas dan ombak berlari
hutan pada pohon , haiwan dan segala isi
gurun pada lapangnya diulit sunyi
langit pada bulan, bintang serta matahari
manusia hebat akalnya tiada terperi
semua itu terlakar pada hati
sebagai petanda kebesaran Ilahi
yang telah mengajar nama semua sekali
luasnya melebihi angkasa tiada bertepi
sebesar alam muat pada hati kecil ini
ia kandungkan kalimah tayyibah yang suci
kalimah berat dari alam dan segala isi
kembara hati pendaki jiwa ta'kan berhenti
nikmat menghirup minuman sanubari
alam besar dan alam kecil penuh rahsia
sebagai bahan tafakkur buat manusia
mengecap kemanisan kehampiran syurga
ia kelazatan kemuncak kejadian kita
dan ramai manusia tiada selera dan terlupa
kerana tertipu dengan muslihat dunia
Tuhan selamatkan kami dengan rahmat-Mu
bimbingkan kami sehingga bertemu
dalam lalai lemah kami mengadu
kemurahan-Mu mendahului murka-Mu
jernihkan hati kami menjadi cermin kekuasaan-Mu
No comments:
Post a Comment