Beberapa Catatan Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani Tentang Terangganu
Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani adalah di antara peribadi kemuncak di dalam sejarah peradaban bangsa kita. Syaikh dilahirkan di Kampong Sena Janjar , Patani pada tahun 1272 H. (1856 M). Syaikh lahir di dalam keluarga ulama yang dihormati di Patani. Ketika umurnya empat tahun, ayahnya, Syaikh Muhammad Zain bin Mustafa telah membawanya ke Makkah. Di sanalah syaikh membesar, belajar dan seterusnya bergiat. Syaikh juga telah melakukan rehlah ilmu ke bumi Palestine dan ke Masir, menuntut ilmu khususnya di Al-Azhar.
Syaikh telah menulis kitab di dalam belbagai ilmu, antara yang terkenal adalah
1-Faridatu al-Faraid: dalam bidang aqidah.
2-Unwanu al-Falah: kitab yang ringkas dan meliputi aqidah, feqah dan tasauf
3-Bahjatu al-Mubtadin: hampir sama kandungannya dengan Unwanu al-Falah
4-Fatawa al-Fataniyyah: himpunan jawaban-jawaban syaikh kepada permasalahan agama yang ditujukan kepadanya.
5-Taiyyibu al-Ehsan fi Tibbi al-Insan: kitab perubatan yang rawatannya berbentuk empirical berdasarkan catitan kitab-kitab Arab dan pengamatan tabib Melayu.
6-Laqtatu al-Ajlan: kitab rawatan yang memanafaatkan bacaan ayat-ayat al-Quran, doa dan gambar-rajah yang tertentu.
7-Badru at-Tamam: Sirah Rasulullah SAW, bersama empat sahabat utama dan Saiyyidatina Fatimah.
8-Hadiqatu al-Azhar: yang merupakan karangan terbesar syaikh, meliputi sejarah imam-imam besar di dalam bidang feqah dan tasauf, sejarah pemerentahan Uthmaniyyah daripada mulanya sehingga ke zamannya, iaitu sultan Abdul Hamid kedua. Begitu juga catitan tentang kefahamannya dalam belbagai perkara dan bidang.
10-Tashilu Naili al-Amani: kitab dalam bahasa Arab yang mensyarahkan kitab Awamil bagi Imam Jurjani , yang merupakan kitab peringkat permulaan dalam pengajaran nahu bahasa Arab.
11-Abniyatu al-Asma wa al-Af‘al: kitab dalam bahasa Arab bagi peringkat permulaan pembelajaran ilmu saraf.
12-Bisharatu al-‘Amilin: kitab tentang kelebihan amalan kebajikan dan janjian seksa amalan kejahatan
Selain daripada yang disenaraikan di atas, masih banyak lagi karya hasilan Syaikh Ahmad yang telah bercetak dan masih dalam bentuk manuskrip. Selain daripada karya tulisan, Syaikh Ahmad telah menyumbangkan jasa kepada peradaban bangsa di dalam bidang:
1- memulai kerja-kerja pentashihan dan percetakan kitab-kitab Melayu di Makkah dan Masir.
2- bergerak di dalam bentuk ‘berpersatuan’ , dengan mengasaskan Jam‘iyyah al-Fataniyyah , bagi mengabungkan pelajar-pelajar dari kawasan Melayu di Makkah pada tahun 1290H [1873 M] . Cetusan ini telah mengerakkan penubuhan kesatuan di kawasan Melayu oleh pelajar-pelajarnya, seperti Jam‘iyyah al-Khairiyyah di Riau, Jam‘iyyah al-Asriyyah di Kelantan.
3- menyemai rasa cinta dan mengambil berat tentang nasib bangsa di dalam rangka peribadatan kepada Allah. Setakat ini, mungkin takrif terawal tentang Melayu ialah takrifan Syaikh Ahmad di dalam kitab nahu Arab karangannya, Tashilu Nailu al-Amani.
4- mengalakkan perkembangan ilmu selain daripada ilmu-ilmu teras pengajian Islam seperti sains dan perubatan serta penguasaan teknologi semasa. Termasuklah penguasaan bahasa-bahasa selain daripada Melayu dan Arab.
5- cakna terhadap bahasa sendiri dan sejarah bangsa,
6- menjalin hubungan yang baik ‘symbiotic’ dengan pihak raja-raja Melayu, serta mengambil berat tentang strategy politik yang bertepatan.
7- meninggalkan wacana yang jelas tentang kewajiban secara kefahaman dan amalan agama perlu dikekalkan berdasarkan huraian ulama agung silam, serta kewajiban secara intelektual, bermaklumat dan mempunyai kepakaran di dalam ilmu-ilmu dan kemahiran yang terkini.
Tidaklah agaknya keterlaluan untuk kita menyimpulkan bahawa Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani RH adalah peribadi cendiakawan Melayu terunggul di dalam sejaran peradaban bangsa . mungkin dari zaman sebelum Melaka sehingga kini.
Beberapa Catitan Syaikh Ahmad Yang Menyentuh Sultan Terangganu.
1-Di dalam Hadiqatu al-Azhar, tentang kelebihan ilmu:
“Dan adalah hamba yang haqir, tercita-cita di dalam hati sudah berapa lama , bahawasa Allah Ta‘ala lagi memperdengarkan hamba dan memperlihatkan hamba di dalam hidup hamba bahawa segala raja-raja Melayu yang besar-besar istimewa segala raja-raja di dalam tanah Patani dan Raja Kelantan dan Raja Terangganu[1]dan Kedah yang amat mulia dan maha besar sekeliannya, dan Raja Johor yang masyhur dengan hemmahnya dan Raja Deli yang masyhur dengan murah dan adilnya, menaruh mereka itu akan cemburu pada hati segala mereka itu dan membesarkan segala hemmah mereka itu, dan mehadap segala inayah mereka itu, dan menyungguh-ngungguhkan usaha mereka itu bahawa dijadikan segala negeri mereka itu bendaharaan ilmu, dan perladungan kepandaian,dan membuka segala mata anak jenis mereka itu kepada cemerlang kebajikan dan handalan supaya ada kelihatan kemegahan bangsa Melayu antara alam, dan tertinggi nama mereka itu antara bani Adam dan bertambah-tambah kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama.
Amat menarik apabila diperhatikan bahawa Syaikh Ahmad menyebut negeri-negeri Melayu yang berada di bawah kekuasaan Siam secara berturutan dan di dalam ‘longgokan’ yang satu.
Syaikh memang mempunyai hubungan dengan raja-raja yang dibilangkan olehnya ini, umpamanya beliau telah menemui Sultan Abu Bakar Johor di Istanbul ketika baginda berkunjung dalam rangka lawatan baginda ke England. Terdapat surat-menyurat diantara beliau dengan Raja Patani dan Raja Jambu, beliau telah mengutus surat kepada Sultan Mansur sempena pertabalan baginda dan berhubung surat dengan Sultan Muhammad Kelantan. Tetapi agaknya yang mempunyai hubungan istimewa dengan beliau ialah Sultan Zainal Abdin III, Terangganu.
Beliau telah menulis sebuah syair khusus untuk Sultan Zainal Abdin III, terjemahnnya lebih kurang begini:
Taman impian dicucuri embun pertolongan
Kembali mekar sudutnya dengan basahan
Siramannya itu membasahi suasana dengan pertolongan
jangan dihairan sungguhnya siraman menolong siraman
bertiup padanya angin sepoi yang membelai
tiada banding baginya, sentiasa berhembus tanpa henti
maka kembanglah bungaan penuh keindahannya
membangkit kecantikan yang tiada tara limpahannya
bergerak dedahannya dan bergoyang perlahan
kesukaan serta burung berpesta dengan galak gembiraaan
beraneka dendangan nyanyi pujian lantang nyata
bersyukur pada yang anugerah tangan bantuan pada kita
mentari kemegahan serta purnama di langit tinggi
cahaya cemerlang, harapan jiwa serta penawar hati
lautan kemurahan bagi segalanya dia pembantu
sebelum dipohon sudah dianugerahinya dahulu[2]
perasaan kasih sayang pada rakyat yang dipimpinnya
kebajikan terus dihambur tanpa perhentiannya[3]
baginda hiasan watan kemegahan rakyat jelata
hati rakyat berhimpun pada mencintai baginda sentiasa
hamba maksudkan dengannya Raja Terengganu muda-belia
yang memiliki kehebatan . maruah dan kesungguhan usaha[4]
dengan itu menjadi agunglah dianya raja, bijaksana serta gabungkan
antara siyasah dan pendidikan yang memberi panduan
raja yang agung ketelitiannya pada mendalami pengetahuan
serta makrifat dan belbagai ilmu serta penunjuk jalan
tiada pernah kerajaan Melayu yang dahulu memiliki
umpama peribadi yang seumpama baginda tiada didapati[5]
baik dari segi agama, amanah dan keadilan
maka baginda sumber semuanya jangan diragukan
sesungguhnya baginda tertonjol di kalangan raja yang lain
segi akhlaq, ketinggian dan titihan yang bersambung
baginda antara raja-raja Melayu umpama purnama bulan
apabila mengambang ia, malaplah kerlipan bintang
baginda seorang mulia dari keturunan yang dihormati
berterusan kebahagian semenjak dahulu hingga kini
baginda menjadi raja, anak kepada raja turun-temurun
yang punya riwayat kemulian secara bersambung
berketurunan Sayyidina Ali, seorang sayyid anak saiyyidan
dari titihan yang tiada diperanakkan kecuali ketinggian
ku harap dengan baginda ummah Melayu meningkat
ke kemuncak tamaddun, kejayaan serta ketinggian pangkat[6]
ku harap baginda akan menyebar pengetahuan serta panduan
dengan itu maka akan diperolihi kemulian dan kebahagian
paling ku harap dengan limpah kurnia baginda
agar dititahkan kepada ulama yang mendapat huda
untuk kemaskan kaedah Bahasa Melayu kerana sungguhnya
telah dipunahkan oleh tangan yang menukar lama-kelamanya
serta agar dikarang bagi rakyat sejarah yang meliputi
khabaran Melayu, jika tiada mereka dilupai tanpa diingati
manusia utama menghidupkan peringatan perihal orangtuanya
jadilah sebutan tentang mereka keindahan kekal selamanya
juga diamati pada menyebar kebajikan raja-raja kamu
agar kekal baginya kenangan indah yang diingati selalu
dan kamu dapat megah kepada mannusia dengan kelebihannya
kerana kamu dipimpin oleh raja berilmu serta ada wibawanya
inilah qasidah kami kepada baginda disembahkannya
baginda umpama kaabah, beruntunglah yang mendatanginya
diharapkan ianya dapat diterima dan tercapai maksudnya
walaupun dalam memuji baginda tiada kesampaian tangannya
Dan berkata pada doa ‘Wahai Tuhan yang bersifat ‘Ula
Peliharakan bagi kami Raja ini serta bahagiakan baginda
Disusuli selawat atas Nabi dan keluarganya
Selama taman impian dicucuri pertolongan embunnya
Syaikh Ahmad juga telah menghantar beberapa surat kepada Sultan Zainul Abidin III. antaranya
Alhamdulillah, Allahumma solli ‘ala Saiyyidina Muhammadi wa a lihi wa sahbuhi wa sallim.
Mengangkatkan sembah hormat yang ‘aliyyah
Dengan terlebih sempurna salam dan tahiyyah
Ke bawah takhta ketinggian al-Malik allazi fadluhu ka as-syamsi fi rabi‘ati an-nahari wa badri fi az-zuluma’ie
Wa asluhu ka syajarati tayyibati asluha thabitun wa far‘uha fi as-sama’
wa karamuhu yazri bi kirami ad-da ama ie
wa khuluquhu bi an-nasimi wa lafzuhu ad-durru al-basimi
wa murahimuhu fa ma’u al-hayati wa at-tasnimi
tuhya bi hima ra’yatihi kama tuhya al-‘izama wa hiya ramim
ayyatuma hallau wa haithuma kanu
Maulana al-Malik al-Karim Yang diPertuan Besar Tuanku Zainu al-Abdin Sultan Terangganu, adama llah Ta‘ala daulatahu wa majdahu, wa aiyyada syaukatahu wa zada sa’dahu. Amin.
Wa ba’du al-mazkur.
Maka adalah patik yang daif Ahmad al-Haj Wan Din yang di Makkah pada kampong Syuaib ‘Ali mempersembah-maklumkan kebawah ketinggian Duli Tuanku yang maha mulia bahawasa marqum yang mulia yang hadrat Duli Tuanku kurnia kepada patik itu telah patik sambuti akan dia serta junjung ihtiram dan syukur , dan adalah ia nurun lil basar wa syifa an lima fi as-sudur, demikian lagi rial, sepuluh rial limpah kurnia daripada laut kasihani Duli Tuanku kepada patik itu telah patik sambuti akan dia juga dengan sehingga-hingga besar hati dan penuh kesukaan menjadiakan dia oleh Allah Ta‘ala kebajikan yang maqbul, yang amat gilang-gemilang cahayanya pada hari Qiyamah serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampur akan dia oleh kadr menyakiti ajanib dan dilimpahkan dengan nikmat dan rahmat dan kekayaan yang ada padanya barakat yang memberi manafaat bagi agama Islam dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu dan terkekal dengan dia daulah Tuanku yang maha mulia serta dapat husnu al-khatimah, amin, bi hurmati an-nabiyyi al-amin, kemudian patik mengangkat sembah salam , doa dan ihtiram…..
Di dalam suratnya yang lain kepada Sultan Zainal Abdin III, antara lain melahirkan harapannya yang tinggi kepada keupayaan Sultan:
Khusus minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iayal Tuanku yang maha mulia di dalam berkekalan keredaan Allah dan syafa’ kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi ummah al-Malayuwiyyah dengan hemmah dan tuah Tuanku yang ‘aliyyah. Yang mendapatkan kuat yang disuruh dengan dia di dalam ayat al-Quraniyyah. Maka mendapat kita dengan demikian itu as-Sa‘adatu al-‘abadiyyah[7]
Syaikh Ahmad al-Ahmadi mengatakan yang Syaikh Ahmad mempunyai cita-cita untuk mewujudkan sebuah kesatuan pemerentahan antara Patani, Kelantan dan Terangganu. Pemerentahan ini pula dinaungi oleh Kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul. Dan seakan-akan kelihatan yang Syaikh Ahmad mengisyaratkan yang akan memimpin kesatuan ini ialah Sultan Zainu al-Abdin III.
Begitu juga terdapat pendapat yang agak tersebar yang Syaikh Ahmad berpandangan yang negeri-negeri Melayu yang berada di bawah kekuasaan Siam hendaknya berusaha untuk dijajah oleh pihak Inggeris. Ini berdasarkan pertimbangan yang praktikal iaitu kerajaan-kerajaan Melayu tidak mempunyai kekuatan untuk berdepan secara ketenteraan dengan Siam. Kedudukan geografi Siam yang berhampiran dengan negeri-negeri Melayu dan rupa-paras kita yang agak sama dengan mereka akan menyebabkan Siam akan menganggap yang negeri-negeri Melayu itu sebagai sebahagian daripada negara mereka. Sedangkan negara orang Inggeris berada jauh daripada rantau kita dan rupa-paras mereka yang jauh berbeza akan menyebabkan lambat-laun mereka akan memberi kemerdekaan kepada kita.
Catitan Syaikh Ahmad tentang karya ulama Terangganu
Syaikh Ahmad telah memulai tugasan mengumpul tulisan-tulisan ulama sebelum dan semasa dengan beliau untuk dicetak. Di antara karangan ulama Terangganu yang diusaha cetak. Oleh beliau ialah Kitab Syarah Hikam karya Tok Pulau Manis. Pada cetakan awal yang dilakukan pada di Matba‘ah al-Miriyyah, di Makkah pada tahun1300 h (1882M), Syaikh Ahmad mencatitkan:
Dan tiada hamba dapat ketentuan namanya dengan nas, tetapi telah dikhabarkan oleh
ba’du ath-thiqah bahawa yang menterjemah kitab ini Maulana…yang mempunyai maqamat yang ‘aliyyah dan karamah yang masyhurah, yang dimakrufkan dengan gelarannya Tok Pulau Manis daripada ahli Taraqanu..
Di dalam cetakan berikutnya pada tahun 1302 H, beliau membuat pengamatan yang berbeza:
Telah sempurnalah mentaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu Ata’illah dengan Bahasa Melayu. Dan adalah tarah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaan nukil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah ulama Terangkanu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan ibaratnya dan pelekan cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terangkanu, maka adapula orang yang menkhabar bahawasanya ia karangan orang Acheh adanya.[8]
Syaikh Ahmad memang seorang yang sangat memerhati ibarat dan pelat percakapan bagi sesuatu daerah Melayu, sebagaimana dapat dilihat ketika syaikh ini membahaskan terjemahan ‘solah’ kepada sembahyang di dalam kitab Fatawa al-Fataniyyah, umpamanya syaikh telah menyebut pelat orang Pulau Pinang dan Kedah yang menukarkan ‘ra’ di akhir kalimah dengan ‘ain’,atau ‘lam’ di akhir kalimah dengan ‘ya’ , seperti disebut ‘benar’ dengan ‘bena’, ‘betul’dengan ‘betui’.
Syaikh Ahmad juga telah mengusahakan percetakan kitab al-Fawaid , tulisan Syaikh Sayyid Ahmad Bin Husein al-Aidrus, Tuan Sayyid Embun, Syaikh menyebut:
Inilah kitab al-Fawaid
diterjemah daripada kitab as-Solatu wa al-‘Awaid
dan daripada Mujarabat ad-Dairabi yang bernama al-Fathu al-Majid
wa qam‘u kulla jabbari ‘anid
yang terhimpun padanya beberapa faedah dan asrar ayat al-Quran
dan kenyataan rahsia dan kelebihan selawat atas nabi sayyidi waladi Adnan
dan beberapa khasiat fadilat kelebihan doa dan wirid dan bagai-bagai ‘azimat yang menolakkan mudarat manusia wa al-jan
dan terhimpun pula padanya ubat-ubatan dan hikmah yang tak dapat tiada berkehendak kepadanya laki-laki dan perempuan
dan lainnya daripada beberapa lagi yang tersebut di dalam kitab ini akan faedah yang bergantung dengahn dunia dan akhirat daru al-Janan
terjemahan Maulana wa Qudwatuna as-Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mustafa al-Aidrus yang dimasyhurkan namanya dengan Tuan Sayyid Embun Terqanu
Syaikh Ahmad berpuas-hati dengan kandungan kitab al-Fawaid ini, sehingga syaikh menyebut:
(Ketahuilah) olehmu hai segala saudara kami yang beroleh kemenangan dunia dan akhirat, bahawsa inilah kitab mujarabat yang asli dan lagi yang sahih dan yang dipindahkan dan diambil daripada Haith Nabi SAW dan perkataan ashab-nya dan ulama dan hukama yang solihin, maka hendaklah kamu berpegang dan percaya dengan dia dan kamu amal dan yakin serta harap daripadanya sekelian yang tersebut di dalam kitab ini kerana yang diterjemahkan pula kepada bangsa Melayu oleh mereka yang sangat alim dan ‘amil lagi yang thiqah dan yang zahir akan keramatnya dan ia setengah daripada anak cucu Rasulullah SAW (dan adapun) mujarabat yang bernama Taju al-Muluk maka iaitu setengah daripadanya perkataan ada baginya asal. Wallu ‘alam.
Selain daripada al-Fawaid, beberapa kitab karangan Sayyid Ahmad Husein ini telah dicetak di Timur Tengah seperti Ta ‘arifu al-Khalani fi Tajwidi al-Qurani yang dicetak di Matba ‘ah al-Miriyyah pada tahun 1333H dan Hidayatu al-Ikhwan fi Azkari as-Solati wa al-Arkan yang dicetak di Matba‘ah at-Taqaddumi al-‘Ilmiyyati di Masir pada tahun 1319H. Tulisan beliau juga yang berjudul Hidayatu al-‘Awami fi Bayani Hukmi Syarbi ad-Dukhan telah mendapat respon daripada ulama sezamannya iaiitu Syaikh Zain al-‘Abidin bin Muhammad al-Fatani, yang dikenali sebagai Tok Minal, iaitu berkisar di atas hukum haram atau tidaknya merokok yang menulis Tabassumu asy-Syaribin..
Isterinya Syaikh Ahmad, Siti Saudah , telah menyalin sebuah karya karangan ulama Terangganu ,Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainu al-Abidin al-Aidrus yang bertajuk ‘Kanzu al-Ula’ pada tahun 1324H (1906) . Pencatat ini mempunyai keyakinan yang Syaikh Ahmad mempunyai hubungan dengan ulama-ulama Terangganu semasa itu seperti Tok Ku Paloh dan pembesar Terangganu yang lain, hanyalah belum ditemui bahan-bahan yang membuktikan hubungan tersebut. Walaupun begitu kita dapat temui kitab-kitab yang dihasilkan oleh Tuan Syaikh Hassan Bin Ishaq Besut di cetak di Matba‘ah al-Miriyyah seperti kitab Ayyuha al-Walad Pada Bicara Wasiat dan Nasihat pada tahun 1300H
Catitan Tentang Haiwan Dendang.
Syaikh mempunyai minat yang mendalam terhadap kehidupan semasa tumbuhan atau binatang, lihatlah sebagai contoh permerhatiannya terhadap binatang kecau dan gondang di dalam kitabnya al-Fatawa, Bahjah dan ‘Unwan.
Syaikh telah menyebut tentang binatang dendang yang digunakan sebagai ubat batu karang:
Dan binatang yang dinamakan dia dendang dan tiada dapat akan dia melainkan pada negeri Paka dan Kertil daripada jajahan Terangganu, iaitu binatang kadar besar sorok-sorok, apabila dimakan akan dia menghancurkan karang dan sekelian barang yang kotor-kotor seperti nanah dan lendir yang ada sertanya hingga suci. Dan sekur daripadanya dimakan empat kali dan ia memabukkan jika dimakan seekur sama sekali. Kata setengah apabila mabuk seseorang daripada sebabnya, diberi minum air nyiur niscaya hilang
Pengkabaran Kematian Syaikh Ahmad
Keakraban hubungan Syaikh Ahmad dengan pembesar-pembasar dan ulama di Terangganu dapat agaknya dapat dirasai dengan perkhabaran kematiannya yang diwarkahkan oleh bapa saudaranya, Syaikh Wan Daud dan anaknya Syaikh Wan Ismail kepada Tengku Long Bin Tengku Ngah, pembesar Besut:
Hadrat Tuanku yang mulia serta hamba Tuanku mengurniakan sembah dari hak hamba Tuanku , Wan Ahmad Bin Almarhum al-Haj Wan Muhammad Zain itu sudah kembali ke rahmatullah pada malam 11 zu al-Hijjah [1325H ] di Mina, maka di bawa turun ke Makkah, maka ditanam di Ma’la, dengan sebab mati sebelah tubuh. Awal sakitnya pada 22 Jamadi al-Akhir [1325H], maka dapat [lega] sedikit, kemudian bertambah pula. Pada lepas puasa enam maka hingga [beransur pulih] sedikit pula, boleh naik haji. Maka tatkala lepas zuhur hari raya haji, maka kena pula [serangan penyakit] hingga selepas maghrib hingga habis umurnya. Dan demikian lagi al-Haj Wan Muhammad Zain Bin Almarhum al-Haj Mustafa [ayahanda Sayaikh Ahmad] itu pun kembali ke rahmatullah juga pada 18 haribulan zu al-Hijjah [1325] dengan sebab sakit orang tuha sahaja.
Akhiru al-Kalam
Semoga harapan Syaikh Ahmad al-Fatani yang diletakkan ke atas pemerentah Terangganu dapat diberi perhatian, dipermudahkan Allah kiranya terlaksana impiannya, Syaikh Ahmad mengidamkan agar pemerentah negeri ini dapat berusaha:
1. menjadikan negeri ini sebagai bendaharaan ilmu dan perladungan kepandaian
2. menyediakan suasana dan infra-struktur yang kondusif untuk anak bangsa negeri ini untuk menuntut ilmu dan kemahiran, agar celik mata mereka terhadap kecemerlangan ilmu dan handalan kemahiran
3. mampu melahirkan ulama dan bijak pandai yang ternama di kalangan Bani Adam
4. memerentah dengan adil yakni mengikut syara agama kita yang maha suci dan maha sempurna
5. mengamalkan sifat kasih-sayang kepada rakyat yang diperentah dan bersikap pemurah kepada mereka tanpa sebarang diskriminasi yang tidak syari’e
6. mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk membina tamaddun Melayu yang bernafaskan syara agama kita serta memiliki kekuatan semasa.
7. mengambil berat dan memperkasakan bahasa sendiri
8. mendokumentasi sejarah bangsa
9. mampu menjadi tauladan kepada negri-negeri lain di dalam melaksanakan kebajikan, mengamalkan keadilan, menyuburkan ilmu pengetahuan serta kemahiran dan memerentah dengan adil bedsarakan ajaran al-Quran.
Semoga kita semua akan dianugerahi Allah keinginan untuk memahami warisan tokoh agung ini, semoga Allah memperkenankan kita walaupun di peringkat mana kedudukan kita dalam masyarakat untuk mengamalkan saranan dan pengajaran yang dianjurkannya.
Semoga kita mampu menumpang tuah tokoh ini di dunia dan di akhirat.
Wallahu ‘alam.
Wa salla Llahu ‘ala Saiyyidina Muhammadin
wa ‘ala alihi wa sahbihi ajmain
Abdullah Zaidi Hassan
Depan Masjid Salor
23hb Syawal 1426.
[1] Syaikh Ahmad mengimpikan suatu bentu pemerentahan gabungan di antara Patani, Kelantan dan Terangganu yang berada di bawah naungan Khalifah Uthmaniyyah . Akan disentuh secara khusus tentang perkara ini.
[2] Tengku Dalam Kalthom menyebut: menghembur beberapa daripada harta
tiadalah syang oleh Sang Nata
demikianlah hal ku dapat warta
tiap-tiap masuk segala pendeta
[3] T.D.K menyebut: tersangat kasih Yang Maha Mulia
kepada segala hamba dan sahaya
hatinya murah lagi bahagi
tiada memandang harta dunia
[4] Di dalam nazam ‘Nuru al-Anam’, Syaikh Ahmad menyebut tentang tanggung-jawab pihak pemerentah:
maka celakalah rakyat dengan celaka raja* tiada hukumkan rakyat dengan adilnya ia
jadi dosa rakyat jadi dosalah ia* sebab tiada disuruh dan tegah akan dia
lagi pula dihukum dengan zalimlah ia* maka raja yang zalim besar dosalah ia
maka raja yang adil ikut hukum yang mulia* pada hari kiamat dapat syurgalah ia
dengan hukum yang adil akan rakyatnya ia* dengan mengikut syara yang dihukumkan Dia
maka dapat untunglah dengan jalan bahagia*dengan hukumnya syara yang diikutkan dia
demikian pula segala wazirnya ia* dengan kerja yang zalim masuk nerakalah ia
[ Syeikh Ahmad al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam . Jil 2 m/s:42]
[5]TDK menyebut: Terangganu Dar al-Iman nama negeri
Sultan nan sangat bijak bestari
Alim termasyhur bijak bistari
Dengan yang lain sukar dicari
[6] Syaikh mengkagumi Sultan ini kerana factor utamanya ialah faham agama pada baginda. Syaikh menyebut di dalam kitabnya as-Siyasatu wa at-Tadbir “urusan Islam adalah yang pertama-tama dan utama,urusan-urusan lain adalah sambil-sambil sahaja [secara relatif-nya].Barang siapa mendahulukan urusan-urusan lain daripada Islam agamanya, maka telah khianat pada agamanya” (m/s 50 Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara- Jil 2).
Sebagaimana juga yang terkandung dalam surat Syaikh kepada muridnya Nik Mahmud Ismail al-Kelantani yang ketika itu menuntut di Masir: “dan mudah-mudahan ankanda meninggikan hemmah pada mendapat barang yang sayugia mendapat dia bagi seumpama diri anakanda di dalam ini masa, supaya terangkat [kedudukan]dengan demikian itu oleh jenis Melayu. Berat dan terhebat dengan dia oleh siyasah mereka itu sebagai tamaddun yang muafakat dengan syara” (ibid)
[7] M/s;83 Syeikh Ahmad al-Ftani Pemikir Melayu dan Islam Jil.2
[8] Terdapat bukti yang kuat untuk kekal mengatakan Syarah Hikam itu karangan Tok Pulau Manis. Mengikut Dr. Shafie Abu Bakar selain daripada itulah pegangan sebahagian ulama dan keturunan Tok Pulau Manis, memang diketemui manuskrip-manuskrip kitab ini yang lainnya di Terangganu. Tentang gaya bahasa dan beberapa perkataan Acheh yang terdapat di dalam kitab ini dapat difahami ianya berlaku kerana Syaikh Abdul Malik, Tok Pulau Manis memang menuntut ilmu di Acheh, syaikhnya yang masyhur ialah Syaikh Abdul Rauf Singkel, yang dikenali sebagai Syaikh Kuala. Pengaruh gaya bahasa dan perkataan boleh sahaja berlaku sebagaimana penulis-penulis yang pernah belajar di Indonesia atau banyak membaca karya-karya dari sana sekarang inpun telah terbawa-bawa dengan gaya bahasa dan perkataan di sana. Lihat sahajalah penggunaan istilah ‘mandiri, mampan, lestari,kesenimbungan dan lain-lainnya. Di dalam hal ini Syaikh Ahmad telah menunjukkan sifat amanah terhadap ilmu yang sangat tinggi, beliau akan mengakui sesuatu ‘kekhilafan’ sendiri apabila terdapat maklumat yang menunjukkan ke arah itu. Wallahu ‘alam
No comments:
Post a Comment