Wednesday, March 30, 2011

Gemulah Mak Saya; addendum

Mak tinggal di rumah keluarga kami bersama keluarga Kak Yah. Mak mengajar anak-anak Kak Yah, dari Muaz, Nusaibah dan Najwa membaca Quran. Mak agak 'bengkeng' ketika mengajar Quran. Ketika mak masih segar dahulu. Pak Cik Mansor lah yang jadi driver, membawa mak ke tempat orang mengajar sana sini.

Mak seumpama wanita sezaman dengannya suka memakai barang emas di tubuh, walaupun ketika sekadar berada di katilnya pada beberapa tahun akhir hayatnya. Mak juga tidak berpantang makan walaupun dia disuntik insulin hari-hari. Mak yang sangat terbatas gerakannya selepas mengalami sakit kencing manis itu banyak bergantung kepada anak-anak Kak Yah untuk membuka tutup suiz kipas, membuka tutup radio television, membawa air minum serta makanan dan sebagainya. Mak juga berleter kepada anak cucu sekiranya ada yang dia rasa tersangkut.

Ibah (Nusaibah) pulang ke rumah dari UITM Dungun pada 2 hujung minggu terakhir mak untuk berkhidmat kepada mak. Seorang cucu yang baik, masyaallah. Ketika mendapat khabar mak meninggal, Ibah yang sepatutnya mengikuti rombongan ke Johor telah menumpang Dok Mek untuk balik.

Saya teringat waktu saya kecil, mak suka membuat bedak sejuknya sendiri. Dia merendam beras di dalam molor (bekas kaca yang besar) dan diletakkan di kawasan terpencil yang redup untuk masa yang lama. Bau dari beras yang menghancur itu agak busuk, dan selepas beras itu hancur, maka patinya digotel kecil-kecil . Gotelan beras hancur itu diletakkan di atas badang buluh dan dijemur panas. Mak biasanya akan meletakkan kuntuman bunga melor bersama gotelan beras itu. Agaknya untuk memberi sedikit kewangian kepada bedak sejuk itu. Bedak itu tidak dipakai untuk tujuan berjangak (berhias), ianya memberi rasa sejuk selasa kepada pemakai dan mungkin melembutkan kulit. Muka perempuan yang mengenakan bedak sejuk ini akan kelihatan putih, umpama pakai 'mask' kecuali bahagian mata.

Agak saya, antara anak-anaknya , Abang Nung lah anak yang dia senangi, kerana patuh kepada mak, tidak bersoal balik apa yang mak katakan. Dok Mek lah yang dia banyak buat berjenguk -kira , dia anak sulung. Kak Yah dan anak-beranak lah yang dia banyak mengatur dan dia paling 'concern' , memandangkan Kak Yah tinggal bersama mak. Saya yang paling santai, saya bergurau dengan semua orang, mak, mak mertua dan semuanya.


No comments: