Monday, June 15, 2009

Kami Ingin Belajar dari Nabi-Mu Yusuf

Aku mencari pembimbing yang dapat melurus jalan
dapat menyuluh cahaya ajaran Tuhan
serta memacak kakiku di atas sunnah Nabi Pilihan
membersih hati dari karat dan kotoran
menjauhkan aku dari kebisingan yang dapat memalingkan
sedar dalam perhatian dan tilik Tuhan

Aku keseorangan dalam hingar yang melalaikan
walau cuba ku gagahkan untuk berseorangan
tetapi kelemahan dan godaan terlalu lantang
sehingga aku terkulai kalah tiada terlawan

Di zaman ini, sukarnya untuk ditemui murshid sejati
yang dapat memegang kita dengan terikat tali
untuk menambat hati dan menjinak peri-budi
serta kita dapat hirup manis bermunajat kepada Ilahi
dunia dapat kita lihat kecil yang tiada nilai untuk dibeli
merasai Ihsan menunjang dalam di hati

Tuhan, yang Maha Zahir Maha Batin
zahirkanlah dalam hidupku kebenaran yang sebati
bersihkan batinku selayak tempat tilik-Mu
sunyikan aku dalam kemeriahan hadrat-Mu
sehingga tiada masa berlalu kecuali lidahku melafaz nama-Mu
sehingga dadaku penuh dengan kebesaran-Mu
sehingga aku gementar untuk bermaksiat kepada-Mu
sehingga aku bimbang lalaiku pada-Mu
tiada daya upaya aku dalam kerahiman-Mu

Keluarkan aku dalam kegelapan telaga yang aku dilontar
selamatkan aku dari godaan wanita yang beristana di dalam dada
ajarlah aku kebijaksanaan tadbirkan mimpi dan ilham
anugerahkan aku kekuatan bertanam amal sementara hujan-Mu mencurah
bekalkan aku sajian keheningan ketika kemarau marah Mu meluas
penjarakan nafsu ketika dia mampu membinasakan aku
serta merdekakan aku ketika penjara menyempitkan taat ku
himpunkan semula aku bersama bapa dan saudara ruhi-ku
tatkala rahmat-Mu menabalkan aku raja dalam kerajaan diriku
mentadbir-urus kerajaan batinku, menabur nikmat kepada rakyatku
sehingga aku serta orang yang bersamaku kukuh berpijak pada Jalan
serta Nabi-Mu berada di depan membimbang kami

Oh Tuhan, sentakkanlah kami dengan lembut-Mu
sehingga kami bersimpuh di hadarat-Mu
dan dunia semakin samar pada pandang kami
kerana Terangnya sifat al-Wujud-Mu yang zati
tiada yang tinggal pada cermin hati kecuali pantulan Nur-Mu
amin


16julai 2009
23Jamdil al-Akhir 1430

No comments: