Ayah lahir pada tahun bah merah. yakni 1926. Dia dilahirkan di Muar Johor. Ketika itu keadaan kehidupan agak sukar di Kelntan, maka sebahagian daripada penduduknya berhijrah ke Perak, umpamanya adik beradik Haji Idris( ayahnya ibu saya), ada yang berhijrah ke sebelah Selatan thai, untuk membuka kebun getah dan ada yang berhijrah ke Muar. Antara tokoh-tokoh yang berhijrah ke Muar ialah Hj Ahmad, ayah kepada Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong dan juga Tuan Guru Hj Idris Kota.
Ahmad telah bercerai daripada isterinya Halimah sebelum Hassan dilahirkan. Hassan bukanlah nama pertama ayah, tetapi dia bertukar nama beberapa kali kerana sentiasa sakit yang dikatakan kerana tidak sekun (tidak sesuai) dengan nama . Kemudian dia dibawa balik ke Kelantan. Ibunya, Halimah menjaganya dengan sepenuh perhatian, hinggakan unutk bermain wau pun dia terpaksa bermain di halaman rumah sahaja.
Ayah kemudiannnya telah bersekolah di Sekolah Kota, dia adalah seorang pelajar yang mampu dan dilantik menjadi ketua pelajar. Sekolah Kota hanya menyediakan pendidikan sehingga darjah 4, unutk ke darjah 5 dia terpaksa menyambung ke Sekolah Langgar. Halimah tidak membenarkan Hassan menyambung belajar di Lanngar, agaknya memandangkan Langgar agal jauh tambahannya Ahmad, bekas suaminya pula tinggal di Telipot yang tidak jauh dari Langgar. Kelayakan untuk menjadi guru pada zaman itu hanyalah pengajian sehingga darjah 5. Antara rakan sekelas ayah ialah Cikgu Muhammad Cik Gu Besar yang tinggal berhampiran round-about Kota.
Ayahpun berkerja dari satu pekerjaan kepada satu pekerjaan. Ketika Perang Jepun Ayah bekerja membuat rumah batu, dan dawai telah tercucuk ke dalam sebelah matanya, yang menyebabkan dia hilang sebelah daripada penglihatan sepanjang hayat selepas itu. Ayah juga berkahwin pada umur yang sangat muda. Rasanya isteri awalnya adalah orang dekat Gertak No.1 , dekat Bunut Payong. Ayah kemudiannya kahwin dengan isterinya yang asal dari Perupok Bachok, dari isteri ini ayah memperolehi 6 orang anak. 5 daripada anak ayah dari perkahwinan ini mati ketika masih kecil. Seorang mati sebelum mecapai umur 20 tahun, yang kami kenali sebagai kak Nik Esaah(saya tidak sempat kenal Kakak yang ini). Ada orang yang menasihati ayah untuk mengelak kematian anak ketika masih bayi, dia hendaklah bersanding sekali lagi di cabang tiga.
Isteri ayah ini juga akhirnya meninggal, ayah kahwin dengan orang Pasir Hor. Dari perkahwinan ini ayah memperolhi anak seorang, Abang Mat Noh. Perkahwinan ini tidak bertahan lama, ayah bercerai dan kemudiannya berkahwin dngen emak, Kalthom, dari Kg Kota. Emak pun sebenarnya juga pernah berkahwin, tetapi dia tidak pernah bercerita tentang hal ini.
Dari perkahwinan ini lahirlah kami 4 beradik . Ayah seingat saya telah berkerja sebagai buruh di Pejabat Pertanian Lundang. Ayah mahir mengkahwini pokok-pokok kayu, pisau kahwin sentiasa berada di dalam poketnya. Lain-lain skop kerja ayah, say tidak tahu. Tetapi kerap juga ayah balik lambat, kerana ketua-ketua (terutama Wan Mahmud) minta tolong buat kerja di rumahnya selepas waktu pejabat.
Untuk menambah pendapatan, emak menoreh getah di tanah Cik Gu Mat yang tidak jauh dari rumah dan juga di Kg Jelutong. Mak dan ayah juga mengoreng biji kopi , saya masih ingat biji kopi yang goreng dalam 'anak curang' (kawah kecil) bersama manisan kerek (gula melaka), garam, gula. Digoreng sehingga lekat, disejukkan kemudian ditumbuk dan ditapis. Kemudiannya selepas ayah membawa balik mesin untuk mengisar kepingan goreng kopi itu. Selain itu mak dan ayah juga membuat padi di tanah 4 keping dekat rumah Cik Gu Johan dan Tanah Dalam Paya. Mereka adalah dari generasi yang kuat bekerja secara fizikal, ya ayah hanya berbasikal untuk berulang alik ke tempat kerjanya di Lundang, kadang-kadang mengatih basikal beserta saya yang membonceng unutk menziarahi saudara-saudara di Bunut Susu.
Ayah juga berbasikal ke Penambang setiap pagi jumaat untuk mendengar Dato Mufti Hj Nur mengajar kitab. Ayah kenal Dato Mufti secara peribadi. Dia mengatakan dia tolong kahwinkan anak-anak durian dan lainnya untuk kebun Dato Mufti di Kg Huda, Pasir Hor. Dia juga mengatakan yang dia belajar silat selendang tapee yang disertai oleh Dato Mufti. Keluraga kami juga agak rapat dengan Tok Guru Hj Idris Kota, memandangkan emak asal dari Kota, dan Mak Haji (nenek sebelah ayah) kenal dengan Hj Idris ketika mereka membuka tanah di Muar. Dato Guru Hj Idris datang ke rumah, untuk usaha tolak bala apabila sepasang ular senduk masuk ke dalam rumah berhampiran telaga. Sementara tapak rumah pula ditanda oleh Hj Cik Long, Kubang Kacang. Ketika tahklil arwah Mak Haji, yang menjadi syaikh tahlilnya ialah Pak Su Hj Ya, Guntung.
Biasanya kami sekeluarga bersembahyang terawih di balaisah Pak Da Awang, Kg Baru. Biasanya ianya diimami oleh Pak Da Awang atau Ustaz Mat. Kemudian mak dan ayah bersembahyang di balaisah A.Rahman di Cabang Tiga Wakaf Che Yeh. Di sini antara guru yang mereka lazimi ialah Ustaz Ismail Mu'alimah dari Lorong Tok Semian, Kubang Pasu. Ayah dan emak sentiasa melazimi Balaisah ini, kemudiannya di up-gradekan dengan bangunan baru sebagai masjid di kawasan yang berhampiran.
Seingat saya ayah adalah seorang orang kampong biasa yang bukan banyak ilmunya , begitupun dia hafal surah Yasin , asma al-Husna, beberapa doa yang tertentu dan sentiasa bangun bertahajjud, begitu jugalah dengan emak. Mereka juga sentiasa menjaga sembahyang berjamaah. Hanya emak sangat gigih belajar mengaji al-Quran. Awal yang saya ingat emak belajar mengaji dengan Mak Su Haji dari Batu 4, kemudian dengan Hj Ali, kemudian dengan Mak Jah dekat rumah, kemudian dengan Kak Mah Cik gu Johan dan Mak Ngah Haji Kubur Tok Panjang.
Ayah belajar bawa motorsikal hanyalah ketika Abang Nul tinggalkan motorsikal di rumah kerana sambung belajar buat MSc di Amerika, waktu itu ayah sudah pencen. Sayalah yang mengajar ayah, saya belajar dari Abang Mat Nuh. Kemudian ayah bawa motor menggunakan lesen L sehingga akhirnya.
Hari-hati tua ayah banyak dihabiskan dalam dia menikmati manjaga 2 orang cucu, anak kak Yah, Muaz dan Ibah. Dia pandai pakai lampin dan menjalani lain-lain kerja yang berkaitan penjagaan anak kecil. Dia akan balik awal selepas subuh dari masjid untuk "hendak jaga cucu kerana emak-nya bekerja".
Dalam pada itu ayah mula merasa tangan kirinya kebas-kebas, bahkan ketika dia bersembahyang pun kadang-kadang tangannya terkulai jatuh. Sebelum itu yang seingat saya, ayah telah sakit perut yang sangat ketika bermalam di rumah Budak Mek (kakak sulung) di Kuala Terangganu, rupa-rupanya saluran apendik ayah pecah dan ayah dibedah di Hospital Kuala Terangganu. Ayah puleh semula sepenuhnya. Tetapi kebas tangannya yang sebelah itu berpanjangan, yang sebenarnya adalah penzahiran daripada masaalah jantung yang dihadapinya.
Ayah diserang stroke, dia menderita hampir dua tahun, Dia kehilangan daya bertutur dengan separuh anggotanya lumpuh sepenuhnya. Daya pemikiran ayah juga teruk terjejas. Dia mengahdapi penyakit ini sehingga ayah bertyemu ajalnya. Ayah tidak mendapat rawatan di hospital, hal ini mungkin disebabkan beberapa orang tua yang berpengalaman yang datang menziarahi ayah yang sakit, telah berpesan supaya dipanggil segala waris kerana masa ayah sudah tiada. Rupa-rupanya yang berkata sedemikian itu telah meninggal sebelum ayah meninggal. Beberapa bomoh dan tukang urat dipanggil dari dekat dan jauh, bermacam-macam telahan dan kaedah yang mereka gunakan tanpa menunjukkan sebarang perubahan.
Ayah meninggal dengan potret sebagai seorang yang sangat taat kepada emaknya, seorang yang cita kepada pendidikan tetapi terhalang, maka diterapkan cita-citanya itu ke atas anak-anak, seorang penghuni kampong yang menghayati ajaran agama dalam keupayaannya, seorang yang tajam pemikirannya, seorang ayah yang tegas, seorang Tok Ayah yang penyayang dan'caring', seorang yang terhimpit dengan belbagai ujian dalam kehidupan, seorang yang mempunyai kegemaran menjala ikan sehingga membuat jalanya sendiri, seorang yang ingin mencuba seperti mengkahwinkan tomato dengan kecubung, membuat mee dan lainya. Ayah adalah seorang 'orang besar' dalam takrifannya yang sendiri, semoga Allah mengampuni kesalahan ayah, menganjari kebaikannya dan menilik ayah dengan tilikan rahmat-Nya. Amin
No comments:
Post a Comment