Datang Ramadan menjenguk kami
seakan seorang pelatih yang dedikasi
sebulan dalam setahun perlu dipatuhi
segala suruh dan larang hendaklah diikuti
Ramadan adalah bulan berpuasa kengkang nafsu
Ramadan adalah bulan al-Quran dibaca selalu
Ramadan adalah bulan sembahyang terawih dilaku
Ramadan adalah bulan zakat diagih pada yang perlu
Puasa adalah rahsia hamba dengan Tuhan
tiada yang menganjarinya kecuali ar-Rahman
serta diberkas belenggu segala syaitan
supaya tenang berhubung Tuhan oleh insan
Apakah Ramadan berjaya merubah kehidupan
adakah sahur makanan jasad juga makanan kerohanian
adakah berdiri malam ditemani hati yang sangat tenteram
adakah lapar dahaga mengajar kita tentang kemanusian
Sebulan kita belajar menjadi manusia sebagai mula
kepada Tuhan seluruh hidupnya diperhamba
akhlaq ar-Rahman dipakainya mana yang pada
usaha mengilap hati agar cerah bercahaya
memercik semerbak bauan dari syurga
pada peribadi mukmin melalui Ramadan yang mulia
bahagialah kita kerana sempurna ibadat ketika berbuka
bahagialah kita diganjari Tuhan kelak ketika berjumpa
Oh Tuhan, pimpin kami ke Jalan yang Engkau reda
berilah makna kepada kami tentang ibadat puasa
ubahlah yang buruk pada kami menjadi mulia
sehingga tiada ada pada kami sebarang cita
kecuali cita dan cinta yang Engkau kurnia
Oh Tuhan, sambutlah kami dengan tilik mesra
walau dalam kepayahan dan kemalasan kami sentiasa
Oh Tuhan rahmat-Mu menyelimuti kekurangan hamba
akhir Syaaban 1428
No comments:
Post a Comment